Untung bersih Q2 melonjak 63%, Sime Darby Plantation tumpu strategi perkukuh kumpulan
Dagang News
Ogos 18, 2021 07:07 MYT
Ogos 18, 2021 07:07 MYT
KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd. akan terus menumpukan usaha mengembangkan perniagaan kumpulan dengan memanfaatkan asetnya berbanding melaksanakan sebarang pengambilalihan mana-mana syarikat buat masa sekarang.
Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, keadaan ketika ini amat tidak bersesuaian memandangkan industri ini masih berdepan dengan masalah kekurangan tenaga buruh.
Pada masa sama, katanya, pembelian aset pada ketika harga minyak sawit mentah tinggi juga dilihat bukan satu langkah yang bijak.
"Dengan memiliki lebih 600,000 hektar kawasan perladangan, strategi kami sebenarnya lebih tertumpu kepada menjana aset sedia ada dan banyak melabur bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta tanaman semula sejak 4 hingga 5 tahun lalu.
"Bagi kami, ini adalah strategi yang lebih baik berbanding memperuntukkan modal atau sumber kewangan untuk membeli syarikat lain.
"Malah, dalam suasana harga minyak sawit yang tinggi, tidak ada sesiapapun akan menawarkan harga yang murah (syarikat)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada kumpulan bercadang untuk melaksanakan sebarang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sidang akhbar mengenai prestasi kewangan syarikat bagi suku kedua yang diadakan secara maya hari ini
Namun, beliau berkata, kumpulan tetap akan meneroka peluang pengembangan apabila tiba waktu yang bersesuaian dan dalam hal ini, ia lebih tertumpu kepada segmen hiliran.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Sime Darby Plantation meningkat 63.2% kepada RM617 juta berbanding RM378 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan turut meningkat kepada RM4.41 bilion daripada tempoh sama tahun lalu sebanyak RM3.22 bilion.
Sementara itu, bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2021, untung bersihnya melonjak kepada RM1.18 bilion daripada RM846 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM8.08 bilion daripada RM6.26 bilion.
Peningkatan keseluruhan kumpulan didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi dan isirung sawit serta pengeluaran buah tandan segar.
Segmen huluan kumpulan merekodkan untung sebelum cukai dan faedah (PBIT) lebih sekali ganda pada separuh pertama 2021 kepada RM1.33 bilion berbanding RM604 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi segmen ini didorong oleh harga MSM dan isirung sawit yang tinggi dengan masing-masing pada purata RM3,422 dan RM2,312 satu tan metrik.
Pengeluaran buah tandan segar kumpulan juga meningkat 2% tahun ke tahun, dipacu oleh operasi perladangan di Indonesia.
Segmen hiliran menerusi Sime Darby Oils turut merekodkan PBIT lebih sekali ganda kepada RM253 juta pada separuh pertama 2021 berbanding RM113 juta bagi tempoh sama sebelumnya terutamanya disumbangkan oleh peningkatan jualan dan margin di rantau Asia Pasifik.
Menurut Mohamad Helmy, Sime Darby Plantation mampu mencatat prestasi yang baik meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya kekurangan tenaga buruh dan dikenakan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) ke atas produk keluarannya.
Sehubungan itu, katanya, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan syarikat bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 akan terus menggalakkan terutama menerusi operasi di Indonesia dan Papua New Guinea.
"Pengeluaran buah tandan segar yang lebih baik di kedua-dua negara ini secara tidak langsung dapat membantu menangani kesan daripada masalah kekurangan tenaga buruh yang berlarutan bagi operasi di Malaysia," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai unjuran harga MSM, Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad menganggarkan ia akan berlegar antara RM4,000 satu tan hingga RM4,700 satu tan dalam tempoh 6 bulan akan datang.
Jelas beliau, harga komoditi itu dilihat agak sukar untuk diniagakan di bawah paras RM4,000 satu tan buat masa ini, dan pihaknya juga menjangkakan harga MSM tidak akan melepasi paras RM5,000 satu tan memandangkan impak terhadap permintaan susulan harga yang tinggi.
“Pada 2022 pula, kami jangkakan harga akan kembali stabil sekitar RM3,000 hingga RM3,500 satu tan metrik berikutan peningkatan pengeluaran sawit," katanya.
*Berita asal di DagangNews.com
#Sime Darby
#Sime Darby Plantation Bhd
#harga minyak sawit mentah
#MCM
#PBIT
#isirung sawit
#operasi perladangan
#Mohamad Helmy Othman Basha