Untung bersih Perak Transit bagi tahun kewangan 2022 naik kepada RM60 juta

Bernama
Februari 23, 2023 02:30 MYT
Hasil meningkat kepada RM170.92 juta daripada RM138.57 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Untung bersih Perak Transit Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 meningkat kepada RM60 juta daripada RM53.20 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021.
Hasil meningkat kepada RM170.92 juta daripada RM138.57 juta sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
"Pendapatan yang lebih tinggi itu disumbangkan terutamanya oleh hasil kukuh daripada operasi terminal pengangkutan awam bersepadu, operasi bas dan operasi stesen minyak, disokong oleh peningkatan kukuh dalam jumlah penumpang di terminal kumpulan dan aktiviti pengangkutan yang lebih tinggi di jalan raya," katanya.
Selaras dengan prestasi kewangan yang kukuh, kumpulan itu juga telah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.75 sen sesaham, yang perlu dibayar pada 19 Mei 2023.
Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2022, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM15.85 juta berbanding RM12.69 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya manakala hasil lebih tinggi pada RM42.53 juta daripada RM32.94 juta sebelumnya.
Pengarah Eksekutif Datuk Cheong Peak Sooi berkata tahun ini, syarikat menjangka mengembangkan perniagaan sedia ada dan juga mengejar peluang baharu untuk meningkatkan aliran hasil dan mempelbagaikan asas pendapatan.
"Kami menjangkakan pembinaan terminal ketiga kami, Bidor Sentral akan siap menjelang akhir 2023 dan memulakan sumbangan hasil sulungnya pada 2024. Kami juga sedang mengembangkan perkhidmatan pengurusan terminal pihak ketiga baharu untuk mengembangkan perniagaan aset baharu ini.
"Kami juga telah mempelbagaikan aliran pendapatan kami untuk memasukkan operasi pembinaan menara telekomunikasi untuk rakan kerjasama kami, edotco Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Perak Transit #Bidor Sentral #Cheong Peak Sooi