Untung bersih MAHB melonjak sekali ganda kepada RM205.80 juta bagi suku kedua

Bernama
Ogos 30, 2024 05:30 MYT
Menurut kenyataan MAHB, perolehan turut meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM1.37 bilion daripada RM1.23 bilion bagi tempoh yang sama.
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih RM205.80 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024, melonjak sekali ganda daripada RM102.53 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan 2023.
Menurut kenyataan MAHB kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, perolehan turut meningkat sebanyak 11.9 peratus kepada RM1.37 bilion daripada RM1.23 bilion bagi tempoh yang sama.
Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan prestasi perolehan didorong oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi daripada operasi syarikat penerbangan baharu selain syarikat penerbangan menyambung semula laluan dan memperkenalkan perkhidmatan baharu.
Selain itu, pelaksanaan dasar tanpa visa selama 30 hari untuk pelancong dari China dan India ke Malaysia, serta musim haji juga menyokong perolehan, tambahnya.
"Secara keseluruhan, operasi di Malaysia dan Turkiye masing-masing mencatatkan peningkatan perolehan 9.5 peratus kepada RM855.1 juta daripada RM780.6 juta, dan 16.7 peratus kepada RM497.7 juta daripada RM426.4 juta.
"Operasi di Qatar mencatatkan kenaikan kecil perolehan kepada RM26.1 juta daripada RM25.0 juta," menurutnya.
Bagi tempoh setengah tahun terkumpul, keuntungan bersih meningkat sekali ganda kepada RM395.79 juta daripada RM160.71 juta manakala perolehan naik kepada RM2.73 bilion daripada RM2.26 bilion pada tempoh sama tahun kewangan 2023.
MAHB menjelaskan pihaknya menunjukkan komitmen yang kukuh untuk merekodkan keuntungan dan pertumbuhan aliran tunai yang berterusan sejak tahun kewangan 2022, didorong oleh pemulihan stabil trafik penumpang.
"MAHB menjangkakan pertumbuhan seterusnya bagi tahun kewangan 2024 dengan trafik penumpang dijangka menghampiri paras sebelum pandemik," menurutnya.
"Di peringkat tempatan, pelonggaran syarat visa telah meningkatkan ketibaan penumpang dengan ketara, khususnya daripada pasaran utama seperti China dan India," jelasnya.
MAHB menjelaskan pihaknya terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia untuk menambah baik pengalaman penumpang dan melancarkan proses ketibaan seperti menambah kemudahan eGate untuk pelancong dari 63 negara, termasuk China dan India.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #MAHB #keuntungan bersih #pelancong