Untung bersih disatukan CIMB Niaga melonjak 103.8 peratus pada tahun kewangan 2021

Barry Ritholtz
Februari 21, 2022 22:08 MYT
CIMB Niaga juga mencatatkan jumlah deposit sebanyak 241.4 trilion rupiah dengan nisbah akaun semasa-akaun simpanan (CASA) meningkat kepada 61.3 peratus.
KUALA LUMPUR: Anak syarikat 92.5 peratus milik tidak langsung CIMB Group Holdings Bhd, PT Bank CIMB Niaga Tbk (CIMB Niaga), merekodkan keuntungan bersih disatukan teraudit berjumlah 4.1 trilion rupiah Indonesia bagi tahun kewangan 2021, peningkatan 103.8 peratus tahun ke tahun dan menjadikan keuntungan sesaham sebanyak 164.5 rupiah.
Pengarah CIMB Niaga, Lani Darmawan berkata prestasi itu adalah memberangsangkan dengan pulangan ke atas ekuiti (ROE) pada dua angka walaupun cabaran berterusan berikutan pandemik COVID-19 masih berlanjutan.
"Kami optimis bahawa pemulihan ekonomi dan aktiviti perniagaan merentas industri akan berterusan pada 2022.
"Justeru, kami yakin namun berhati-hati dengan prestasi kewangan lebih baik pada 2022, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan operasi dan pinjaman, dilengkapkan oleh disiplin ketat dari segi pengurusan kos," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Beliau berkata nisbah kecukupan modal (CAR) dan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) CIMB Niaga adalah kukuh masing-masing pada 22.7 peratus dan 74.4 peratus setakat 31 Dis, 2021.
Berasaskan jumlah aset sebanyak 310.8 trilion rupiah pada 31 Dis, 2021 sekali gus CIMB Niaga mengekalkan kedudukannya sebagai bank milik swasta kedua terbesar di Indonesia dari segi aset.
CIMB Niaga juga mencatatkan jumlah deposit sebanyak 241.4 trilion rupiah dengan nisbah akaun semasa-akaun simpanan (CASA) meningkat kepada 61.3 peratus.
Lani berkata akaun semasa dan akaun simpanan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 35.1 peratus (tahun ke tahun) dan 6.9 peratus (tahun ke tahun), sebahagian besarnya didorong oleh komitmen berterusan bank itu terhadap penambahbaikan digital dan pengalaman pelanggan.
CIMB Niaga merekodkan jumlah pinjaman 181.6 trilion rupiah dipacu terutama oleh 9.2 peratus pertumbuhan tahun ke tahun dalam segmen perbankan pengguna.
Gadai janji mencatatkan pertumbuhan sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun manakala pinjaman automotif berkembang 28.8 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, CIMB Niaga Syariah mengekalkan kedudukannya sebagai unit perniagaan Islam terbesar di Indonesia, dengan jumlah pembiayaan 37 trilion rupiah, meningkat sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun manakala deposit pada 41.5 trilion rupiah atau pertumbuhan 39.2 peratus tahun ke tahun setakat 31 Dis, 2021.
Lani berkata dalam melangkah maju, CIMB Niaga terus memberi tumpuan kepada kualiti aset, pengurusan kos dan pertumbuhan CASA, memperluas perniagaan pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping mewujudkan penyertaan digital.
-- BERNAMA
#cimb niaga #Indonesia #keuntungan #Lani Darmawan
;