Untung bersih CelcomDigi RM406.02 juta pada suku kedua, umum dividen 3.5 sen

Bernama
Ogos 16, 2024 05:15 MYT
CelcomDigi telah mengemukakan cadangan untuk membina rangkaian 5G kedua Malaysia, di samping terus memacu penggunaan 5G dan pendigitalan dalam kalangan perusahaan dan pengguna Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Untung bersih CelcomDigi Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 meningkat kepada RM406.02 juta daripada RM343.51 juta ketika suku yang sama tahun kewangan 2023, didorong pertumbuhan perolehan perkhidmatan serta realisasi sinergi dan manfaat penggabungan.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, syarikat telekomunikasi itu menjelaskan bagaimanapun, perolehan berkurang 2.0 peratus kepada RM3.10 bilion berbanding RM3.12 bilion bagi tempoh yang sama.
Perolehan daripada perkhidmatan meningkat sebanyak RM7 juta atau 0.3 peratus berbanding suku sebelumnya, disumbangkan oleh pascabayar dan Home Fiber yang dipacu oleh penggunaan perayauan yang lebih tinggi dan pembelian oleh pelanggan baharu yang kukuh.
Prestasi itu juga didorong perolehan SMS pukal yang meningkat dan tawaran penyelesaian baharu pada suku kedua 2024, tambahnya.
Sebaliknya, perolehan daripada prabayar susut disebabkan jumlah pelanggan berkurang daripada pemerolehan sim sekali sahaja yang lebih rendah.
Bagi enam bulan terkumpul, untung bersih meningkat kepada RM782.48 juta daripada RM661.44 juta yang dicatatkan tempoh sama semasa tahun kewangan 2023.
Perolehan pula susut 0.4 peratus kepada RM6.28 bilion daripada RM6.30 bilion terutama ekoran tekanan daripada segmen mudah alih teras.
CelcomDigi mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.5 sen sesaham, berjumlah RM411 juta, boleh bayar pada 30 Sept, 2024.
Pihaknya juga telah melepasi separuh daripada usaha dalam program penyepaduan dan pemodenan rangkaian di seluruh Malaysia, lebih awal daripada jadual dalam inisiatif transformasi tiga tahun selepas penggabungan, menurutnya.
Syarikat itu memaklumkan transformasi teknologi maklumat (IT) juga dilaksanakan sepenuhnya, untuk memacu transformasi perniagaan, kecemerlangan operasi dan pelanggan dengan membolehkan pengalaman digital yang lebih baik untuk semua.
Sementara itu, CelcomDigi telah mengemukakan cadangan untuk membina rangkaian 5G kedua Malaysia, di samping terus memacu penggunaan 5G dan pendigitalan dalam kalangan perusahaan dan pengguna Malaysia.
"Kami mengekalkan sasaran bagi pertumbuhan perolehan daripada perkhidmatan dengan peningkatan satu digit yang kecil. Pertumbuhan ini membuktikan kejayaan awal inisiatif kami, meletakkan syarikat untuk pertumbuhan perolehan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2024.
"Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dijangka turun sebanyak satu digit berikutan pelarasan organisasi, mengakibatkan kos sekali sahaja sebanyak RM140 juta. Kami secara proaktif berusaha untuk mengurangkan kesan kos ini," jelasnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, CelcomDigi memaklumkan pihaknya telah menyelesaikan penyepaduan dan pemodenan rangkaian di Pulau Pinang dan melepasi separuh untuk seluruh negara, lebih awal daripada jadual dalam membangunkan rangkaian digital terkemuka Malaysia.
Dalam tempoh setahun, lebih 50 peratus telah dicapai daripada langkah naik taraf yang disasarkan di seluruh negara dan lebih 8,500 tapak dimodenkan setakat akhir Julai 2024, yang dijangka dilaksanakan menerusi langkah tiga tahun itu.
Ini membuktikan keupayaan CelcomDigi melaksanakan projek infrastruktur rangkaian mudah alih dengan pantas dan mencapai skala, tambahnya.
Pada kadar ini, CelcomDigi ditetapkan untuk menyelesaikan 75 peratus daripada usaha naik taraf rangkaian menjelang akhir 2024, meletakkan syarikat itu di kedudukan utama untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia, jelasnya.
CelcomDigi menjelaskan pada suku tersebut, pihaknya telah melabur RM518 juta menerusi perbelanjaan modal untuk melaksanakan inisiatif penyepaduan rangkaian dan IT.
-- BERNAMA
#CelcomDigi #rangkaian 5G #keuntungan bersih #dividen