Untung bersih Bank Islam naik 3.3 peratus kepada RM571.1 juta bagi tahun kewangan 2024
Bernama
Februari 28, 2025 16:06 MYT
Februari 28, 2025 16:06 MYT
Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 meningkat 3.3 peratus kepada RM571.1 juta. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 melonjak 3.3 peratus kepada RM571.1 juta berbanding RM553.05 juta pada tahun kewangan 2023.
Ringkasan AI
- Keuntungan bersih Bank Islam Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 meningkat 3.3 peratus kepada RM571.1 juta, dipacu oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan elaun bersih lebih rendah bagi penyusutan dalam pembiayaan.
- Jumlah aset meningkat 6.4 peratus kepada RM96.8 bilion, dengan pembiayaan kasar meningkat 3.8 peratus kepada RM70.2 bilion dan deposit pelanggan serta akaun pelaburan meningkat 6.4 peratus kepada RM80.9 bilion.
- Bank Islam kekal komited untuk menyepadukan kemampanan ke dalam operasinya, dengan tumpuan kepada ekonomi rendah karbon, keterangkuman kewangan, dan amalan tadbir urus yang kukuh, serta menjangka menggerakkan RM28 bilion dalam kewangan mampan menjelang akhir 2025.
Peningkatan ini dipacu oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan elaun bersih lebih rendah bagi penyusutan dalam pembiayaan, walaupun diimbangi jumlah overhed yang lebih tinggi.
Hasil meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM4.70 bilion daripada RM4.53 bilion sebelum itu.
"Prestasi yang lebih baik itu mendorong pendapatan sesaham kumpulan sebanyak 25.20 sen dan pulangan bersih ke atas ekuiti (ROE) sebanyak 7.6 peratus," kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bank Islam mengaitkan peningkatan dalam pendapatan bersih kumpulan itu kepada kenaikan 5.1 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih, yang meningkat kepada RM2.2 bilion, dipacu oleh sekuriti pelaburan dan pertumbuhan pembiayaan.
Bagaimanapun, bank itu berkata ini sebahagiannya diimbangi penurunan 2.2 peratus dalam pendapatan bukan berasaskan dana, yang merosot kepada RM397.7 juta disebabkan oleh keuntungan bersih yang lebih rendah daripada urus niaga pertukaran asing, walaupun dikurangkan oleh pendapatan yuran dan komisen yang lebih tinggi.
Kumpulan itu berkata jumlah asetnya meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM96.8 bilion pada 31 Dis 2024, disokong oleh pertumbuhan dalam sekuriti pelaburan dan pembiayaan dengan aset bersih sesaham sebanyak RM3.38.
Selain itu, bank itu berkata pembiayaan kasarnya meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM70.2 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat sebanyak RM4.8 bilion atau 6.4 peratus kepada RM80.9 bilion.
Setakat 31 Dis 2024, akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan urus niaga (CASATIA) berjumlah RM32.1 bilion, diterjemahkan kepada paras sihat sebanyak 39.7 peratus daripada jumlah deposit pelanggan dan akaun pelaburan.
Sementara itu, bagi suku keempat 2024, keuntungan bersih Bank Islam meningkat 9.1 peratus kepada RM172.64 juta daripada RM158.28 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 6.3 peratus kepada RM1.24 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelumnya.
"Segmen perbankan runcit kumpulan mencatatkan pendapatan bersih berjumlah RM453.9 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024, meningkat 22.7 peratus berbanding suku keempat tahun kewangan 2023, didorong oleh pendapatan bersih berasaskan dana dan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi.
"Bagi segmen perbankan institusi kumpulan, pendapatan bersih meningkat 16.5 peratus kepada RM240.3 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024, turut disokong oleh pendapatan berasaskan dana dan bukan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi," katanya.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 4.12 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan kepada 15.12 sen sesaham.
Bagi perancangan masa hadapan, Bank Islam kekal komited untuk menyepadukan kemampanan ke dalam operasinya dan memacu perubahan yang bermakna dan pertumbuhan jangka panjang.
"Tumpuan diberi termasuk kepada menyokong peralihan yang bertanggungjawab kepada ekonomi rendah karbon, menggalakkan keterangkuman kewangan dalam komuniti dan mengukuhkan amalan tadbir urus, sejajar dengan lima komitmen kemampanan kami.
"Bank Islam menjangka menggerakkan RM28 bilion dalam kewangan mampan menjelang akhir 2025, memacu pertumbuhan dalam aset patuh Syariah dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sosial," katanya.
-- BERNAMA