Universiti Taylor's hubungkan pemimpin bisnes hari ini dengan pemimpin masa depan
Israr Khalid
Ogos 30, 2023 19:54 MYT
Ogos 30, 2023 19:54 MYT
MEMBINA perniagaan dari ‘kosong’ merupakan satu perjalanan yang amat mencabar, tidak menentu dan pada masa sama perlu selalu beradaptasi dengan landskap pasaran yang sentiasa berubah.
Dalam persekitaran yang dinamik ini, usahawan selalu menemukan diri mereka di persimpangan, mencari petunjuk dan pimpinan untuk menala arah tuju mereka ke matlamat yang diimpikan dalam kerumitan dunia keusahawanan.
Di sini perlunya bimbingan seseorang berpengalaman dipanggil mentor, supaya para usahawan yang baru mengorak langkah tak terkandas, putus harapan dan tersungkur.
Dengan sasaran memupuk dan membudayakan keusahawanan di negara ini, Universiti Taylor’s sekali lagi menganjurkan projek “Camp of Leaders,” sebuah inisiatif untuk menghubungkan para pelajar berwawasan dengan idea produk atau perniagaan berpotensi kepada peneraju-peneraju berkaliber dalam industri.
Menerusi inisiatif ini, pelajar dan mentor akan bekerjasama untuk memacu inovasi dalam perniagaan berimpak dan projek sosial yang dapat memberi sumbangan positif kepada masyarakat sekali gus mempertingkatkan kualiti kehidupan.
Dimulakan dengan sesi ‘jumpa dan bentang’ (meet and pitch), “Camp of Leaders” akan menggandingkan pelajar dengan mentor bersama dalam sesi tunjuk ajar secara bersemuka untuk tempoh selama empat bulan.
Padanan pelajar dibuat berdasarkan cabaran yang dihadapi dengan bidang kemahiran individu mentor dalam pelbagai bidang, di mana mentor akan mendidik dan menasihati pelajar dalam pelbagai tahap kemahiran insaniah, kemahiran organisasi, dan kemahiran pengurusan perniagaan.
Peringkat seterusnya adalah sesi perkongsian dengan para pemimpin industri dari beberapa syarikat terkemuka di dunia, antaranya Kenneth Chan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Divisyen McDonald’s China; dan Jê Alipio, Pengarah dan Ketua Permainan di The Walt Disney Company, Asia Tenggara dan Timur Tengah dan Afrika Utara.
Para pelajar akan dibimbing oleh individu berjaya seperti Santharuban Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Etika; Shazmi Ali, Naib Presiden Sumber Manusia Shell; Ramachandran Muniandy, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Asia Mobiliti; Kent Chua, Pengasas Bersama dan Ketua Pengawai Eksekutif Rhombus Connexion; Melvin Chee, Pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif PRG Commerce; dan Lim Ben-Jie, Ketua Pasaran Global dan Ketua Penyampaian Kumpulan, Air Asia Super App.
Universiti Taylor’s hubungkan pemimpin hari ini, masa depan
“Mentorship bukan sekadar menyampaikan kemahiran teknikal; ia tentang nilai, etika dan minda untuk berjaya.
"Memandangkan pelajar boleh mendapatkan inspirasi daripada kisah ketabahan, daya tahan dan integriti dengan setiap mentor mereka, saya berharap saya dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk masa akan datang, dan memainkan peranan dalam perjalanan pertumbuhan mereka, ” kata Lim Ben-Jie, yang merupakan alumni Universiti Taylor’s.
Beberapa mentor musim lalu juga akan kembali menabur bakti membimbing pelajar “Camp of Leaders” musim ini, antaranya Dr Yasmin Rasyid, Pengasas EcoKnights; Nik Suzila, Pengasas Bersama Kloth Circularity; Lim Yuet Kim, Pengasas Bersama PichaEats; Yap Sue Yii, Pengasas Komuniti Tukang Jahit; dan Surina Shukri, pengarah dan pelabur bebas.
Sepertimana musim lalu, “Camp of Leaders” musim ini akan menampilkan pelbagai projek daripada para pelajar Taylor’s yang berimpian untuk membawa inovasi baharu dalam industri masing-masing.
Antaranya BraillePad, teknologi cetakan 3D boleh didengari yang direka untuk membantu insan cacat penglihatan menikmati proses membaca; Safeboat, bot penyelamat khas untuk bayi dan anak kecil ketika kecemasan banjir; Taskphase, sistem pengurusan masa berkecerdasan buatan (AI) untuk membantu pelajar menguruskan masa; Kita, platform e-dagang fesyen yang mampan; Fiskor, snek inovatif daripada keropok lekor; dan Broilfeedpro, sistem pemakanan ayam pedaging automatik.
“Dengan adanya mentor, saya berharap dapat menerima dan serap semua ilmu yang diberikan, kerana saya bukan hanya belajar tentang perniagaan – saya sedang belajar bagaimana untuk menerima cabaran, menjadikan kegagalan sebagai pengajaran dan memupuk daya tahan yang diperlukan untuk kesediaan diri saya, bersama pasukan saya.
"Saya menyedari bahawa saya mempunyai banyak perkara untuk diperbaiki, dan dengan bimbingan mentor saya, sedikit kesabaran dan kemahuan, saya bercita-cita untuk menyumbang yang terbaik kepada pasukan saya dalam jangka masa panjang,” kata Shannen Kay Chan, ahli pasukan BraillePad, dan pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pembedahan di Taylor’s School of Medicine.
“Camp of Leaders” menjadi batu loncatan buat para pelajar berwawasan menjayakan impian masing-masing, dengan bimbingan para peneraju industri berpengalaman, supaya mereka terus bersemangat, disuntik pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk berada di landasan yang tepat menuju kejayaan.