Universiti Sunway, Daikin Refrigeration bangunkan cecair nano jimat tenaga

Astro Awani
Februari 28, 2022 11:40 MYT
Universiti Sunway memaklumkan percubaan selama sebulan itu terbukti menjimatkan penggunaan tenaga sehingga peratus kilowatt jam (kWh) secara konsisten berbanding sistem penyejukan yang menggunakan air biasa. - Foto Universiti Sunway
KUALA LUMPUR: Universiti Sunway dengan kerjasama Daikin Refrigeration Malaysia Sdn Bhd berjaya membangunkan cecair nano berasaskan graphene yang mampu menjimatkan penggunaan tenaga harian sehingga 10 peratus ketika menggunakan pendingin hawa.
Ketika mengumumkan projek perintis itu, universiti itu memaklumkan, percubaan selama sebulan itu terbukti menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 10 peratus kilowatt sejam (kWh) secara konsisten berbanding sistem penyejukan yang menggunakan air biasa.
Menurut kenyataan, bendalir nano itu mampu memindahkan haba sehingga 40 peratus lebih pantas dalam tempoh yang singkat.
Data menunjukkan sistem penyejukan di bangunan komersial dan perindustrian merekodkan penggunaan sehingga 40 peratus.
Kenyataan itu memaklumkan, dengan mengambil contoh penggunaan sistem penyejukan sebanyak 500 tan yang mempunyai tahap kecekapan 0.80kW/tan yang beroperasi kira-kira lapan jam sehari, kadar penggunaan tenaga elektrik adalah 3,200kWj.
"Mengikut pengiraan 51 sen per kilowatt jam (kWh) dianggarkan menelan kos sebanyak RM1,632 untuk sehari.
"Namun dengan cecair nano ini, penggunaan tenaga harian dapat dikurangkan sehingga 10 peratus kWj, di mana hanya 2,880kWj digunakan dalam tempoh itu.
"Ini bermakna, pemain industri dapat menjimatkan kos dengan hanya membelanjakan RM381,888 untuk 260 hari bekerja," kata kenyataan itu, di sini, pada Ahad.
Cecair nano yang menggunakan anopartikel graphene (zarah kecil yang berjulat antara 1 hingga 1,000 nanometer) bukan sahaja beroperasi dengan kos penyelenggaraan yang rendah namun ia juga mampu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam industri dan mengekalkan tempoh pengudaraan dan prestasi penyejukan yang baik.
Dalam pada itu penyelidik utama projek berkenaan Prof Mohammad Khalid, memberitahu ia adalah cekap, kos efektif, mesra alam dan selamat digunakan dalam industri.
Katanya, penggunaan cecair berasaskan graphene itu terbukti berkesan di makmal dan juga kehidupan sebenar.
Sementara itu, Ketua Sunway iLabs Foundry, Karen Lau memberitahu, mereka menyasarkan untuk melengkapkan percubaan pengesahan bagi memastikan kebolehulangan yang pertama menjelang suku tahun pertama ini.
"Kami juga mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi terutamanya dalam kalangan pengeluar dan pengurus hartanah yang mahu mengkomersialkan penyejuk nano berasaskan graphene.
"Ini termasuk mana-mana syarikat yang mahu menggunakan teknologi ini dalam menjimatkan penggunaan tenaga serta selari untuk mejadikan organisasi mereka sebagai neutral karbon," katanya.
#Universiti Sunway #pendingin hawa #teknologi nano #industri penyejukan
;