Unit Pansar raih kontrak pembinaan lebuh raya bernilai RM477.69 juta
Bernama
Januari 22, 2025 11:00 MYT
Januari 22, 2025 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perbena Emas Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pansar Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM477.69 juta oleh Jabatan Kerja Raya Sarawak untuk mereka bentuk dan membina sebahagian daripada Lebuh Raya Dua Lorong Serian-Gedong-Samarahan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata kontrak berkenaan melibatkan reka bentuk dan pembinaan lebuh raya berkembar empat lorong sepanjang 8.5 kilometer, termasuk dua jambatan, rizab Transit Aliran Autonomi, trek basikal, koridor utiliti, lampu jalan dan infrastruktur berkaitan.
"Tempoh kontrak selama 36 bulan dan projek itu dijadualkan bermula pada Februari 2025.
"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan apabila projek itu berjalan sepanjang tempoh kontrak," kata syarikat itu.
Pansar juga berkata projek itu yang meliputi Seksyen 1B lebuh raya berkenaan, merangkumi dari Simpang Tanah Puteh ke Isthmus Gedong.
"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama Pansar atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan," kata syarikat itu.
-- BERNAMA