Unit Manjung 4 penuhi dua objektif Dasar Tenaga Negara

Astro Awani
Februari 2, 2016 07:10 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak perasmian stesen janakuasa TNB Janamanjung loji Manjung 4 di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah. - Foto Bernama
Unit Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah penuhi objektif pertama dan ketiga Dasar Tenaga Negara dari segi keselamatan bekalan serta melindungi alam sekitar.
Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, unit yang berupaya menjana 1,000 megawat tenaga elektrik itu mengunakan teknologi penjanaan yang paling efisien di Asia Tenggara buat masa ini.
Menurut beliau, penjanaan tenaga elektrik menggunakan teknologi hijau di Manjung 4 itu juga menepati salah satu teras utama rancangan Malaysia ke-11.
Ini termasuk mencapai pertumbuhan hijau dengan melibatkan pengurangan intensiti karbon dalam ekonomi negara.
Jelas beliau, penggunaan teknologi 'kritikal super ultra' moden dan canggih di stesen itu bakal memastikan penjanaan bekalan elektrik yang selamat sekaligus berjaya menangani isu-isu alam sekitar.
Justeru katanya, pihaknya yakin penggunaan teknologi hijau itu dapat menyumbang kepada pembangunan lestari dengan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dapat dicapai tanpa memusnahkan alam sekitar.
"Dengan penjanaan kapasiti berjumlah 1,000 megawat stesen janakuasa Sultan Azlan Shah Manjung bakal muncul stesen penjana elektrik terbesar kapisiti penjanaannya di negara ini.
"Ini sekali gus akan menyumbang kepada kestabilan sistem grid nasional disamping meningkatkan keupayaan penjanaan tenaga TNB janamanjung kepada 3,100 megawatt dan meletakkannya sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Semenanjung Malaysia," kata Maximus.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan ketika ini sedang mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 8 peratus dalam tempoh 10 tahun mulai tahun ini termasuk memastikan suhu-suhu di bangunan kerajaan tidak rendah daripada 24 darjah selsius.
Unit loji arang batu keempat di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah itu mula dibina pada 31 mac 2011 di atas sebuah pulau tebus guna seluas 325 hektar berhampiran teluk rubiah dengan kos hampir RM6 bilion.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan merasmikan unit loji arang batu tersebut di Manjung pada Selasa.
#Datuk Seri Dr Maximus Ongkili #Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air #Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah #Unit Manjung 4
;