UniSZA, SME Bank bekerjasama perkasa bidang keusahawanan

Bernama
Februari 17, 2023 08:15 MYT
Fadzli (tengah) pada Majlis Menandatangani MoU antara UniSZA dan SME Bank pada Khamis. - Foto UniSZA
KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalinkan kerjasama dengan SME Bank bagi menjalankan program pembangunan usahawan dan graduan dalam usaha memperkasakan lagi bidang berkenaan.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata kerjasama itu melibatkan program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), penyelidikan dan pembangunan kolaboratif serta penawaran kemudahan dan perkhidmatan makmal.
"Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bergandingan dalam program sangkutan industri melalui Program CEDAR BEACON, bengkel, seminar, webinar dan pembiayaan untuk usahawan siswazah dan syarikat 'spin-off' UniSZA," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Majlis Menandatangani MoU di antara UniSZA dan SME Bank yang berlangsung di UniSZA@Putrajaya, pada Khamis.
Fadzli mewakili UniSZA manakala SME Bank diwakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail.
Fadzli berkata pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama tersebut dan berharap ia mampu melonjakkan lagi kecemerlangan UniSZA di persada negara.
-- BERNAMA
#keusahawanan #UniSZA #SME Banj #program pembangunan usahawan
;