Unifi Business galak PMKS tempatan manfaatkan teknologi digital
Astro Awani
November 9, 2024 19:18 MYT
November 9, 2024 19:18 MYT
KUALA LUMPUR: Unifi Business terus melangkah maju dalam usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di Malaysia dengan menyertai Jelajah Jiwa SME, sebuah inisiatif penting bertujuan menyokong usahawan tempatan dalam memperkukuhkan daya saing perniagaan melalui penggunaan teknologi digital.
Menurut Naib Presiden Unifi Business, Yusman Ammeran, platform itu membuka peluang bagi PMKS untuk mendalami dan mengadaptasi teknologi digital, di samping mendapatkan inspirasi dan bimbingan daripada usahawan berjaya.
“Dalam Jelajah Jiwa SME ini, kami memahami bahawa PMKS memerlukan sokongan yang konsisten. Bersama Astro AWANI, kami menawarkan platform bagi mengajar mereka bagaimana teknologi dapat meningkatkan produktiviti dan keberkesanan perniagaan.
“Kami juga membawa bersama usahawan berjaya untuk berkongsi pandangan dan strategi perniagaan, demi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” ujarnya.
Jelasnya, Unifi Business menumpukan tiga aspek utama dalam memberikan sokongan berkesan kepada PMKS iaitu antaranya melalui penyelesaian digital, di mana usahawan boleh mengakses teknologi terkini seperti broadband pejabat, talian mudah alih, pemasaran digital, dan penyelesaian keselamatan siber yang mampu milik.
Melalui kemudahan itu, Unifi Business berharap agar PMKS dapat memajukan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dalam landskap ekonomi digital yang semakin kompetitif.
Seterusnya, bantuan tempatan turut disediakan melalui perkhidmatan perniagaan di setiap negeri membolehkan para usahawan menerima khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keperluan mereka di peringkat tempatan.
Selain itu, terdapa juga kerjasama strategik antara Unifi Business dengan pelbagai rakan ekosistem, termasuk Maybank Islamic dan TnG Digital bagi menyediakan perkhidmatan pembiayaan digital, yang menjadi aspek penting dalam menyokong PMKS menghadapi cabaran kewangan.
Dalam usaha meningkatkan lagi daya tarikan terhadap inisiatif berkenaan, Unifi Business turut memperkenalkan Unifi Device Fiesta, di mana PMKS berpeluang mendapatkan peranti percuma apabila melanggan perkhidmatan Unifi Business seperti broadband atau talian mudah alih 5G.
Yusman berkata, promosi tersebut bertujuan untuk meringankan beban kos operasi usahawan dalam memperoleh peranti yang relevan bagi menyokong transformasi digital mereka.
“PMKS memerlukan teknologi digital untuk terus berdaya saing. Melalui Jelajah Jiwa SME, kesedaran mengenai pentingnya penggunaan teknologi dipertingkatkan. Kami yakin bahawa melalui inisiatif ini, Unifi Business mampu menjadi pemangkin bagi pertumbuhan PMKS secara mampan,” tambahnya.
#unifi Business
#PMKS
#usaha pendigitilan
#Yusman Ammeran
#Jelajah Jiwa SME
#penyelesaian digital
#Unifi Device Fiesta