UMW Toyota perkenal inisiatif “Beyond Zero,” wawasan melangkau matlamat sifar karbon

Israr Khalid
Februari 22, 2024 13:41 MYT
Dari kiri ke kanan: Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; bersama Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, Chang Lih Kang; serta barisan kepimpinan UMW Toyota pada majlis pelancaran inisiatif "Beyond Zero." - Foto Toyota
KUALA LUMPUR:
UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan inisiatif “Beyond Zero,” selaras matlamat global syarikat pengeluar kereta terkemuka itu ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050.
Tidak sekadar menuju sifar pelepasan karbon, inisiatif itu menerajui usaha mewujudkan masa depan yang mampan, saling berhubung, dan melibatkan segenap lapisan masyarakat dengan pendekatan berbilang laluan.
Wawasan ini melangkaui konsep automotif nasional, membayangkan sebuah masyarakat yang mana setiap individu mengecap kesejahteraan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka, dipacu teknologi terkini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, gesaan untuk Malaysia beralih kepada tenaga mampan didorong komitmen global juga potensi untuk kepelbagaian ekonomi dan keterjaminan tenaga.
“Malaysia, yang diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), berada di landasan yang betul untuk menjadi pemimpin serantau dalam peralihan tenaga.
“Usaha inovatif Toyota dalam tenaga bersih menerusi pendekatannya yang pelbagai sememangnya selari dengan matlamat negara kita,” katanya berucap merasmikan pelancaran inisiatif itu pada Selasa.
Acara di Mranti Bukit Jalil itu menekankan komitmen Toyota menyelaraskan wawasan dan amalannya dengan usaha negara serta global yang lebih meluas bagi memupuk pembangunan mampan dalam mengatasi perubahan iklim.
Bagi mempamer komitmen Toyota yang tidak berbelah bahagi terhadap pendekatan pelbagai laluan ke arah neutraliti karbon, syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun ketinggalan dalam perjalanan ke arah dunia yang mampan.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K. mengakui wujudnya pelbagai cabaran, pada masa sama peluang di seluruh negara dalam usaha memperjuangkan pendekatan berbilang laluan serta melaksanakan tindakan kitar hayat yang sesuai agar selari dengan setiap kepentingan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara.
“Menyedari keunikan landskap automotif Malaysia serta kedudukannya sebagai hab pengeluaran elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, adalah penting untuk kami meletakkan diri kami di kedudukan yang sewajarnya dalam perjalanan ini.
“Strategi berbilang laluan Toyota dibina atas dasar kefahaman bahawa berlainan pelanggan punyai berlainan keperluan,” katanya.
Acara “Beyond Zero” dilancar sebagai satu pameran pendekatan pelbagai Toyota dengan teknologi-teknologi elektrifikasi, termasuk Kenderaan Elektrik Hibrid (Hybrid Electric Vehicle, HEV), dan buat julung kalinya memperkenalkan Kenderaan Elektrik Bateri (Battery Electric Vehicle, BEV) dan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (Fuel Cell Electric Vehicle, FCEV).
Kenderaan-kenderaan Elektrifikasi ini mempamer kemampanan automatif terkini, menampilkan elemen reka bentuk dan inovasi termaju yang dihasrat untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar, tidak sekadar pelepasan ketika pengoperasiannya tetapi dari proses pembuatan hingga ke pelupusannya.
Dengan sejarah kebolehpercayaan yang terbukti di jalan raya Malaysia sejak 2009 dan di peringkat global sejak 2007, UMWT telah menjual 41,600 HEV sejak mula diperkenalkan di negara ini, yang diterjemah kepada kesan penyahkarbonan yang membanggakan - iaitu penyerapan kira-kira 150,000 tan karbon dioksida (CO2) bersamaan dengan 500,000 pokok.
Keupayaan unggul UMWT mengurangkan CO2 dengan ketara tanpa memerlukan sebarang pelaburan infrastruktur atau perubahan sikap pelanggan, memperlihat dengan jelas bahawa teknologi hibrid boleh menjadi penyelesaian optimum bagi memperkenal seterusnya memperluaskan lagi elektrifikasi untuk orang ramai.
Selain HEV, UMWT turut memperkenalkan kenderaan BEV pertama mereka iaitu model bZ4X yang elegan, Hilux BEV yang tahan lasak, dan C+pod, sebuah BEV ultra kompak dua tempat duduk yang mesra alam.
Untuk FCEV pula, UMWT memperkenalkan model termaju merangkumi model Toyota Mirai FCEV, GranAce FCEV dan Hilux FCEV, serta bas SORA - akronim kepada “Sky, Ocean, River and Air” (Langit, Laut, Sungai dan Udara) - yang kesemuanya dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen.
Bagaimana kenderaan FCEV digerakkan? Gas hidrogen sebagai sumber kuasanya yang disimpan di dalam tangki bertindak balas dengan oksigen bagi menjana tenaga elektrik yang memberi kuasa kepada motor elektrik, dan mekanisme itu hanya mengeluarkan air sebagai kesan tindak balas kimianya.
Pengisian semula bahan apinya hanya mengambil masa lima minit atau kurang dengan jarak pemanduan yang lebih jauh, kenderaan FCEV hidrogen punyai kelebihan sebagai kenderaan komersial yang sifar pelepasan, selamat, senyap, dan mudah.
Daripada kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik bateri, hinggalah kepada teknologi sel bahan api hidrogen, konsep “Beyond Zero” menekankan komitmen Toyota untuk terus berinovasi, di samping memupuk ekosistem yang hijau dan rendah karbon untuk semua rakyat Malaysia.
Toyota Beyond Zero: Wawasan melangkau matlamat siar karbon
#UMW Toyota #Toyota #Beyond Zero
;