UMW Toyota Motor perkenal Innova Zenix serba baharu
Bernama
Jun 22, 2023 10:10 MYT
Jun 22, 2023 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor memperkenalkan Toyota Innova Zenix Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) dan varian Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) serba baharu, sekali gus menandakan satu kejayaan penting dalam komitmen syarikat terhadap neutral karbon melalui pelancaran secara maya.
Varian HEV berharga RM202,000 seunit manakala model ICE berharga RM165,000 seunit, bagi pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Dibina dengan platform termaju Toyota New Global Architecture (TNGA), Zenix serba baharu dilengkapkan dengan Toyota Safety Sense 3.0 (TSS3.0) yang menjadi penanda aras industri baharu untuk teknologi keselamatan termaju.
"UMW Toyota Motor percaya Toyota Innova Zenix serba baharu akan memuaskan hati malah melebihi jangkaan pelanggan yang paling cerewet.
"Dengan rangkaian kuasa elektrik hibrid, Zenix serba baharu menampilkan perbezaan dan meningkatkan tahap daripada aspek kuasa, prestasi dan inovasi yang menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan sepanjang masa," kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.
-- BERNAMA