UMW namakan Azmin Che Yusoff sebagai pemangku Presiden, CEO kumpulan

Bernama
Jun 4, 2020 04:01 MYT
Kepimpinan Azmin yang kukuh akan memastikan kesinambungan inisiatif yang sedang dilaksanakan. - Bernama
UMW Holdings Bhd melantik Azmin Che Yusoff sebagai pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan (P/GCEO) berkuat kuasa Jumaat (5 Jun 2020).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, konglomerat perindustrian itu berkata lembaga pengarahnya dalam proses memilih pengganti bagi jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh Badrul Feisal Abdul Rahim yang meninggal dunia pada Ahad.
"Pelantikan Azmin sebagai P/GCEO adalah disebabkan pengalaman luasnya, kepimpinan yang matang dan pemahaman mendalam mengenai operasi UMW," katanya.
Menurut UMW, kepimpinan Azmin yang kukuh akan memastikan kesinambungan inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi membolehkan kumpulan itu melaksanakan strategi dan rancangan sedia ada untuk pertumbuhan pada peringkat selanjutnya.
UMW berkata Azmin yang sebelum ini bersara daripada kumpulan itu sebagai ketua pegawai operasi kumpulan dan ketua pegawai kewangan kumpulan pada 30 Jun, 2019 telah menyambung semula perkhidmatannya sebagai ketua pegawai operasi korporat pada 1 April, 2020.
Menurutnya, Azmin juga telah memudahkan pelaksanaan beberapa projek khas terpilih dan inisiatif utama di bawah agenda transformasi syarikat berkenaan.
-- BERNAMA
#Azmin Che Yusoff #Badrul Feisal Abdul Rahim #Bursa Malaysia #CEO #Ketua Pegawai Eksekutif #konglomerat perindustrian #UMW Holdings Bhd
;