UMW Group catat rekod jualan tertinggi 383,054 kenderaan pada 2022
Bernama
Januari 17, 2023 08:30 MYT
Januari 17, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: UMW Group mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 383,054 unit kenderaan pada 2022, melonjak 46 peratus daripada 262,685 unit dicatatkan pada 2021.
Ini berikutan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua melepasi sasaran jualan mereka pada tahun tersebut.
Menurut UMW Group, prestasi UMWT dan Perodua didorong terutamanya oleh permintaan kukuh yang dipacu oleh pengecualian cukai jualan dan model kenderaan baharu yang dilancarkan pada tahun itu.
Dalam kenyataan pada Isnin, katanya UMWT menyaksikan 101,035 unit diserahkan pada 2022, meningkat 40 peratus daripada 72,394 unit dicatatkan pada 2021.
Oleh itu, ia mengekalkan kepimpinannya dalam segmen automotif bukan nasional melalui jualan model terlaris seperti Vios, Hilux dan Corolla Cross.
UMWT mencatatkan 10,440 unit pada Disember 2022 manakala Perodua mencatatkan 31,224 unit pada bulan yang sama, jualan bulanannya yang tertinggi.
Katanya Perodua berjaya mengekalkan kedudukannya dalam industri automotif Malaysia dengan serahan sebanyak 282,019 unit pada 2022, meningkat 48 peratus daripada 190,291 unit dicatatkan pada 2021.
Perodua turut mencapai pengeluaran tahunan tertinggi sejak penubuhannya dengan 289,054 unit pada 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata UMWT dan Perodua telah menunjukkan daya tahan dan mencatatkan prestasi yang amat baik pada tahun tersebut berdasarkan cabaran yang dihadapi oleh industri automotif.
"Kami optimis secara berhati-hati bahawa industri automotif akan terus mencatatkan prestasi yang baik pada 2023 berdasarkan tempahan yang menggalakkan dan permintaan kukuh yang berterusan.
"Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang menarik dengan harga kompetitif untuk memenuhi keperluan pelanggan," katanya.
-- BERNAMA