Umat Islam disaran sertai wakaf korporat

Bernama
April 30, 2016 07:58 MYT
MUHAMMAD ALI: Aset wakaf berkenaan kemudiannya akan digunakan semula sebagai modal pelaburan bagi meneruskan projek Awqaf yang seterusnya.
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) meminta umat Islam di negara ini melibatkan diri dalam wakaf korporat bagi memperkasa ekonomi selain membuat pelaburan demi masa hadapan mereka.
Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata umat Islam perlu sedar bahawa menerusi wakaf korporat yang diterajui Awqaf Holding Berhad (Awqaf), pelbagai faedah dapat diperolehi dengan menggembleng sumber ekonomi secara menghimpun keupayaan kolektif.
"Wakaf korporat ini boleh disertai dengan menjadi ahli Awqaf yang mana yuran ahlinya akan diwakafkan untuk pelaburan berdasarkan terma ditetapkan.
"Pada asasnya wakaf korporat ini juga bertujuan untuk kita menggembleng pelaburan dari orang ramai khususnya umat Islam dan daripada segala keuntungan dan kelebihan pelaburan itu nanti akan menjadi aset Awqaf," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-2 DPIM Perak, di sini pada Sabtu.
Muhammad Ali berkata aset wakaf berkenaan kemudiannya akan digunakan semula sebagai modal pelaburan bagi meneruskan projek Awqaf yang seterusnya.
"Kita berharap Awqaf pada satu hari nanti akan dapat berdikari dari segi kewangan untuk memberi keutamaan dalam sektor hartanah.
"Melalui wakaf korporat juga, Awqaf dapat menambah bilangan umat Islam memiliki harta menepati Maqasid Syariah selain menambah bilangan masa depan umat yang mampu berterusan berwaqaf untuk manfaat berpanjangan semua," katanya.
Awqaf adalah sebuah syarikat dengan jaminan ditubuhkan oleh DPIM pada 3 Sept 2012.
#AWQAF #Dewan Perdagangan Islam Malaysia #dpim #Muhammad Ali Hashim #wakaf korporat
;