UiTM tersenarai 100 universiti terbaik dalam QS Asia University Rankings 2024
Dagang News
November 9, 2023 15:10 MYT
November 9, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Buat kali pertama dalam sejarah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih kedudukan berprestij apabila tersenarai dalam 100 universiti terbaik Asia dengan mencapai kedudukan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024.
UiTM berkata, universiti itu melonjak enam anak tangga dari kedudukan ke-104 pada tahun lalu dan kini berada pada kedudukan ke-9 di Malaysia.
Kejayaan itu mempamerkan usaha dan komitmen jitu UiTM terhadap kecemerlangannya.
Katanya, antara 11 indikator dalam QS AUR, UiTM mencapai peningkatan skor tertinggi untuk indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa.
"Indikator itu mengukur kehebatan rangkaian rakan penyelidikan antarabangsa UiTM, yang juga mencerminkan usaha universiti ke arah memacu penglibatan di peringkat global.
UiTM turut mencatatkan peningkatan skor yang ketara bagi indikator Reputasi Majikan, Reputasi Akademik, dan Nisbah Pelajar Antarabangsa," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menzahirkan kesyukuran dengan keputusan cemerlang yang dicapai oleh UiTM sebagai hadiah pertama setelah beliau dilantik sebagai naib canselor.
Beliau berkata, sebagai universiti terbesar di Malaysia, pihaknya berbangga dengan kejayaan menyertai barisan 12% universiti terbaik di Asia.
Katanya, pihaknya juga mengucapkan tahniah kepada lima institusi tempatan baharu yang tersenarai dalam QS AUR 2024.
"Kejayaan besar ini adalah hasil usaha bekas Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor. Di bawah pimpinannya, UiTM mencapai tahap baharu yang dicerminkan melalui pengiktirafan ini.
"Saya berazam untuk menghormati dan memelihara warisan ini serta akan memastikan UiTM terus kekal merentasi puncak keunggulan dan kejayaan.
"Penarafan ini merupakan bukti bagi mencapai matlamat untuk menjadi universiti bertaraf global tanpa melupakan fungsi utamanya dalam mendidik bakat tempatan," katanya.
Pada tahun ini, QS AUR 2024 menyenaraikan sebanyak 857 institusi melibatkan 25 lokasi di Asia, iaitu peningkatan sebanyak 149 institusi dari tahun lalu. -DagangNews.com
#UiTM
#100 Universiti Terbaik Asia
#QS Asia University Rankings 2024
#indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa