UEM Group melalui Cenergi tumpu usaha perkasa jurutera muda mahir

Astro Awani
Januari 29, 2024 14:06 MYT
Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pendekatan UEM Group itu penting bagi membina masa depan Malaysia ke arah negara neutral karbon menjelang tahun 2050. - Foto UEM Group
KUALA LUMPUR: UEM Group Berhad (UEM Group) bersama anak syarikatnya Cenergi Sea Berhad (Cenergi) terus komited memperkasa jurutera muda daripada pelbagai latar belakang yang mahir dalam industri hijau.
Menurut Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani, pendekatan tersebut penting bagi membina masa depan Malaysia ke arah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
“Jurutera muda mempunyai peranan penting dalam peralihan tenaga. Di UEM Group dan melalui anak syarikat kami seperti UEM Lestra Berhad dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi), kami memberi tumpuan untuk melengkapkan anak muda Malaysia dengan kemahiran, pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan sektor hijau Malaysia.
“Kami akan terus memupuk jurutera muda kami, melengkapkan dan mengembangkan kecekapan mereka, serta membuka jalan untuk mereka bagi mendaki tangga korporat dalam sektor hijau dan pada masa yang sama memainkan peranan dalam merealisasikan peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
Antara perkara yang dapat dipelajari di Cenergi merangkumi pengurusan projek, perancangan kewangan, penyelarasan, pengawalan dan pengurusan risiko.
Sementara itu, Penolong Pengurus (Reka Bentuk Biogas), Mohd Nazul Abdul Kadir berpendapat, Cenergi sentiasa bersifat terbuka dan percaya akan kebolehan jurutera mereka ketika di lapangan.
“Dan juga pihak pengurusan atasan di sini banyak memberi cabaran kepada pendatang baharu iaitu jurutera muda dengan mendedahkan mereka kepada cabaran sebenar, seperti saya yang pernah di hantar ke Papua New Guinea berseorangan bagi membuat tinjauan di sana. Jadi bila kita diberi cabaran sebegitu rupa, kita akan lebih cenderung untuk berfikir secara lebih kreatif,” katanya.
Tambahnya, Cenergi juga sentiasa menggalakkan jurutera mereka agar mendapatkan sijil profesional seperti CAPM dan PMP agar dapat menambah lagi kemahiran serta meningkatkan daya saing dalam sektor industri hijau.
Dalam perkembangan sama, Ketua Bahagian Solar dan Kecekapan Tenaga (Pembangunan Perniagaan), Ahmad Syihan Abdullah berkata, mereka sentiasa digalakkan untuk meneroka peluang dan inovatif baharu.
“Sebagai contoh kami mula meneroka idea untuk membangunkan agri PV di ladang solar kami yang terbaharu.
“Menerusi idea agri PV ini kami bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk menanam tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran untuk kegunaan penduduk tempatan serta dapat dijual bagi menjana pendapatan sampingan atau sebagai kegunaan harian,” jelasnya.
Katanya, di Cenergi juga, mereka sentiasa meneroka model perniagaan baharu antaranya model perniagaan sifar kos bagi pemasangan bumbung solar dan juga kecekapan tenaga atau ‘energy efficiency’ melalui penambahbaikan pertukaran sistem penyejuk pada bangunan.
Menerusi program tersebut, pihaknya membantu pelanggan komersial dan industri bagi mengurangkan kos elektrik dan juga kadar jejak karbon.
Cenergi memainkan peranan utama dalam mengurangkan jejak karbon melalui pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui khususnya biogas, biojisim dan solar serta ‘Projek Cekap Tenaga’, termasuk penyampaian pengetahuan teknikal kepada jurutera muda Malaysia.
#UEM Group #Cenergi #Industri Hijau #neutral karbon
;