UDA Holdings sasar jualan 311 unit hartanah di Pulau Pinang tahun ini

Bernama
Mei 20, 2023 05:10 MYT
UDA sentiasa proaktif membangunkan projek di atas tanah wakaf bagi meningkatkan nilai tanah tersebut seterusnya memacu ekonomi ummah.
KEPALA BATAS: UDA Holdings Bhd, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), menyasarkan jualan 311 unit hartanah di Pulau Pinang pada tahun ini.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata syarikat tersebut komited menyediakan pelbagai rangkaian produk hartanah untuk semua peringkat atau lapisan masyarakat, selari dengan peranannya dalam meningkatkan urbanisasi seterusnya menggalakkan pemilikan hartanah.
"Di Pulau Pinang, UDA menawarkan empat produk hartanah merangkumi unit komersial seperti kedai pejabat Elevate @ Gravitas, unit kediaman seperti kondominium Evoke Residence, rumah berkembar serta rumah banglo tiga tingkat Crescent Dew, Bertam dan kediaman apartmen Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah.
"Semoga usaha menggalakkan pemilikan hartanah ini juga dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani," katanya ketika berucap di Majlis Uda Ria Raya di sini semalam.
Katanya sebagai pelopor pembangunan hartanah wakaf, UDA sentiasa proaktif membangunkan projek di atas tanah wakaf bagi meningkatkan nilai tanah tersebut seterusnya memacu ekonomi ummah.
Tambahnya Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah merupakan salah satu hartanah wakaf yang ditawarkan di Pulau Pinang, yang merupakan produk kediaman apartmen 40 tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, meliputi dua jenis keluasan iaitu 950 dan 1,100 kaki persegi.
Sebanyak 422 unit kediaman Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah dibangunkan di lokasi strategik di Seberang Jaya dengan harga mampu milik bermula daripada RM299,991 hingga RM414,447 seunit.
Kediaman kondusif yang berpagar serta berpengawal itu sesuai untuk pasangan baru berkahwin atau keluarga kecil selain turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti taman permainan, kolam renang, jakuzi, gimnasium, tempat letak kenderaan berbumbung, dewan serbaguna, taska dan bilik pengurusan jenazah.
Selain itu, katanya terdapat beberapa lagi projek yang bakal dilancarkan tidak lama lagi termasuk projek Crescent Dew Fasa 1B di Bertam, merangkumi pembinaan rumah berkembar dan banglo dua tingkat serta 32 unit kedai pejabat di Wakaf Seetee Aisah 2.
--BERNAMA
#Mohd Salem Kailany #uda holdings #hartanah di Pulau Pinang #Tanah Wakaf
;