Uber tutup ujian kereta tanpa pemandu di Arizona
Bernama
Mei 24, 2018 11:28 MYT
Mei 24, 2018 11:28 MYT
Syarikat perkhidmatan perjalanan, Uber Teknologi menutup program ujian kereta tanpa pemandu di Arizona, selepas seorang wanita maut dalam nahas jalan raya pada Mac lepas, lapor agensi berita Xinhua.
Ketua bahagian kenderaannya, Eric Meyhofer berkata susulan itu, Uber beralih ke Pittsburgh, Pennsylvania dan di ibu pejabat San Francisco, California, di mana ujian terhadap kereta tanpa pemandu telah dilaksanakan sejak 2016.
"Kami tidak menutup sepenuhnya sebaliknya akan beroperasi semula di Pittsburgh pada musim panas ini. Uber yakin dengan teknologi bebas pemandu," katanya menerusi e-mel.
Dalam kejadian pada Mac itu, menyebabkan seorang wanita berusia 49 tahun maut selepas dilanggar kereta tanpa pemandu ketika melintas jalan di pinggir bandar Pheonix.
Lantaran itu, Gabernor Arizona Doug Ducey mengarahkan program ujian kereta tanpa pemandu dihentikan sehingga siasatan selesai.
Uber memindahkan program ujian tanpa pemandu ke Arizona pada Disember 2016 selepas berlaku konflik dengan California.
Media tempatan melaporkan kira-kira 200 pekerja Uber di Arizona, kebanyakannya pemandu keselamatan, bakal hilang pekerjaan.
-- BERNAMA
#Arizona
#California
#kereta
#kereta tanpa pemandu
#maut
#pemandu
#Pennsylvania
#Pittsburgh
#San Francisco
#Uber
#Uber Teknologi
#ujian