Uber Malaysia sasar wujudkan 100,000 pekerjaan

Malik Ridhwan
Mac 3, 2016 18:44 MYT
Pewujudan 100,000 pekerjaan baharu dapat meluaskan rangkaian pemandu dan kenderaan Uber di lebih banyak lokasi di bandar-bandar utama di Malaysia. -Gambar Reuters
Uber Malaysia mensasarkan untuk mewujudkan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu menjelang tahun 2017.
Ini susulan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan mod pengangkutan yang lebih cekap, efisien dan selamat.
Menurut Pengarah Urusannya Leon Foong, ekonomi yang mencabar kini menyaksikan peningkatan dalam pengurangan dan pembuangan pekerja.
Tambahnya, ini peluang bagi mereka yang terkesan untuk menjadi salah seorang rakan pemandu Uber.
BACA: Uber bekerjasama dengan SPAD kawal selia aktiviti
Kata Foong lagi, ini dapat meluaskan rangkaian pemandu dan kenderaan Uber di lebih banyak lokasi di bandar-bandar utama di Malaysia.
“Kami mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Kini sektor minyak dan gas berdepan cabaran dan kami lihat pekerja bertukar pekerjaan," kata Foong ketika ditemui Astro AWANI selepas taklimat media mengenai dua tahun Uber di Malaysia.

“Kami mahu berikan mereka fleksibiliti. Sama ada mereka lakukan untuk tempoh dua minggu atau jadikan ia satu kerjaya atau kerja sambilan untuk 12 ke 24 bulan, terpulang kepada mereka." Leong Foong Pengarah Urusan Uber Malaysia

Tambahnya, penggunaan teknologi dalam menyediakan mod pengangkutan kepada umum adalah salah satu aspek penting dalam memberi keselesaan dan kesenangan buat pengguna.

“Sebahagian daripada sasaran kami adalah menggunakan teknologi untuk menghapuskan halangan dan membolehkan orang ramai merebut peluang ini." Leong Foong Pengarah Urusan Uber Malaysia

"Melalui potongan harga kami baru-baru ini, pemandu kami menjana lebih banyak wang, lebih banyak pemandu baharu dan mereka tidak hanya menerima manfaat harga rendah, sebaliknya waktu menanti lebih pendek, lebih dipercayai dan permintaan semakin meningkat,” tambah Foong.
Uber Malaysia akan memperluaskan perkhidmatan
Dalam pada itu, Uber Malaysia merancang untuk memperluaskan perkhidmatannya ke lebih banyak bandar-bandar utama di Malaysia.
Melaka antara destinasi yang berpotensi untuk Uber.

“Kita sentiasa mahu berada di sebanyak tempat yang mungkin. Kita perlu membuat keputusan yang berhati-hati untuk memastikan setiap bandar yang kita berada adalah mampan. Berdasarkan pelaburan kami, ia sesuatu yang kita perlu tingkatkan di samping memastikan semua matlamat kita tercapai." Leong Foong Pengarah Urusan Uber Malaysia

“Tiga kriteria itu adalah bagi memastikan pemandu boleh menjana pendapatan yang mencukupi, memastikan pengguna mendapat perkhidmatan yang boleh dipercayai dan memastikan bandar-bandar ini mendapat manfaat.
"Selagi ia mengambil kira kriteria ini, kita akan mempertimbangkan untuk memasuki pasaran tersebut,” katanya.
Menurut Foong lagi, selain perkhidmatan pengangkutan awam, Uber Malaysia juga berhasrat untuk memperkenalkan perkhidmatan lain seperti penghantaran makanan.
Ketika ini, UberEATS hanya terdapat di beberapa bandar utama di Amerika Syarikat, Kanada, Sepanyol dan Australia.

“Kami sentiasa terbuka untuk meneroka produk atau ciri-ciri baru yang mampan dari sudut model perniagaan jika ia mampu kekal dalam pasaran yang berdaya maju." Leong Foong Pengarah Urusan Uber Malaysia

“Sebagai contoh, UberEATS bukan perkhidmatan makanan tradisional. Ia perkhidmatan penghantaran makanan kurang dari lima minit yang tidak ada siapa pernah lakukan sambil memastikan ia berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Uber kini mempunyai kira-kira 1.3 juta pemandu di lebih 400 bandar utama di 68 buah negara.
#Leon Foong #Uber #UberEats
;