Uber bekerjasama dengan SPAD kawal selia aktiviti

Malik Ridhwan
Mac 3, 2016 18:45 MYT
Uber mempunyai hasrat sama dengan kerajaan untuk mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030. - Gambar Reuters
Uber Malaysia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan itu.
Menurut Pengarah Urusannya Leong Foong, Uber mempunyai hasrat sama dengan kerajaan untuk mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.
Dalam satu kajian oleh SPAD baru-baru ini, pengguna lebih cenderung untuk menggunakan perkhidmatan seperti Uber di jalan raya untuk memudahkan pergerakan ke sesuatu destinasi.
Ini kerana pengguna percaya Uber memberi perkhidmatan yang lebih adil, selesa dan selamat.

“Kami gembira dengan perbincangan yang dilakukan antara SPAD dan Kementerian Pengangkutan. Apa yang kami perasan adalah kerajaan Malaysia sangat progresif dan mereka suka teknologi. Mereka utamakan pengguna dan pemandu." Leong Foong Pengarah Urusan Uber Malaysia

“Kami juga mempunyai sasaran yang sama. Kami mahu gunakan teknologi untuk menggalakkan lebih ramai orang mengunakan pengangkutan awam, sama seperti SPAD di mana sasaran mereka pada 2030 untuk mempunyai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam.
"Berdasarkan kajian terbaharu, SPAD akui penumpang suka jika mempunyai pilihan seperti Uber,” kata Foong.
BACA: Uber Malaysia sasar wujudkan 100,000 pekerjaan
Pada Rabu, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya akan serahkan kepada kementerian yang berkaitan untuk menggubal undang-undang untuk mengawal aplikasi perjalanan perkongsian itu.
Katanya adalah terpulang kepada kerajaan untuk membuat keputusan mengenai status aplikasi Uber.
Sebagai badan penguatkuasaan, SPAD tidak mempunyai masalah dengan Uber namun terikat dengan undang-undang sedia ada untuk menjalankan penguatkuasaan.
Beliau berkata kenderaan yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam perlu memohon lesen dan proses pelesenan harus dipatuhi.
#Leon Foong #SPAD #Tan Sri Syed Hamid Albar #Uber
;