Ubah caj penerbangan musnah visi kemajuan negara - Tony

Najib Aroff
Julai 11, 2016 23:17 MYT
AirAsia telah mencipta pertumbuhan dan rancangan kami adalah menjadikan KL sebagai Dubai bagi penerbangan kos rendah. - Foto AFP
Cadangan kenaikan cukai atau caj lapangan terbang akan memberi cabaran terhadap usaha menjadikan Malaysia hab penerbangan kos rendah dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes pengekalan caj sedia ada terutama di Klia2 akan mengalakkan kedatangan lebih ramai penumpang di lapangan terbang berkenaan.
Dalam kemaskini Instagram, Tony berkata Klia2 kini bersaing hebat dengan lapangan terbang Changi Singapura.
“AirAsia telah mencipta pertumbuhan dan rancangan kami adalah menjadikan Kuala Lumpur sebagai Dubai bagi penerbangan kos rendah.
“Menaikan cukai lapangan terbang akan menghapuskan visi ini,” katanya dalam kemaskini Instagram.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali yang mahu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengkaji menghapuskan dua jenis caj sedia ada di KLIA dan Klia2.
Dalam laporan The Edge, Badlisham berkata sistem caj sedia ada perlu ditukar di mana caj harus dikenakan berdasarkan kos pembinaan lapangan terbang dan kualiti perkhidmatan.
Tony bagaimanapun berkata alasan itu tidak munasabah dan mempertikaian mengapa dari awal Klia2 di bina pada kos RM4 bilion, sedangkan cadangan LCCT AirAsia hanya melibatkan nilai RM2 bilion.
“Mengapa bina lapangan terbang bernilai RM4 bilion? Rancangan kami adalah membina lapangan terbang di Labu pada kos RM2 bilion,” katanya.
Tony pada masa sama kekal bertegas KLIA 2 harus dijenamakan sebagai LCCT kerana 98 peratus operasi digunakan Airasia dan tiada penerbangan hybrid yang beroperasi disitu.
Dalam laporan The Edge, Badlisham berkata penumpang menikmati caj PSC yang rendah di Klia2 pada RM32 bagi antarabangsa dan RM6 bagi domestik.
Ia berbeza dengan KLIA di mana penerbangan antarabangsa adalah RM65 dan domestik RM9.
“Di negara ini, PSC berdasarkan tahap perkhidmatan dan kos. Lebih banyak dilabur (dalam lapangan terbang), lebih besar peluang meningkatkan tahap perkhidmatan.
“Namun ia tidak berlaku. Kami laburkan RM4 bilion di Klia2 namun PSC tidak selari dengan kos. MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) harus mengubah perkara ini.”
MAVCOM ketika ini masih mengkaji caj aero nautical termasuk PSC, caj pendaratan pesawat dan caj parkir pesawat.
#AirAsia #KLIA 2 #MAHB #mavcom #PSC KLIA 2 #Tony Fernandes
;