U Mobile, Time dotCom bekerjasama percepatkan pelaksanaan 5G

Bernama
Julai 29, 2024 13:40 MYT
Dari kiri, CEO U Mobile Wong Heang Tuck, Woon, EVP Wholesale Time Ganesh Sivasamboo dan Pengarah Eksekutif Time Datuk Zainal Amanshah. - Foto U Mobile
KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd dan Time dotCom Bhd menjalin kerjasama strategik untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G mereka di bawah model dwi rangkaian 5G kerajaan.
U Mobile berkata kerjasama tersebut akan membolehkan mereka memanfaatkan rangkaian gentian Time yang luas untuk mempersiapkan pelancaran rangkaian 5G kedua mereka.
"Melalui kerjasama ini, U Mobile terus memperkukuhkan keupayaannya untuk memastikan pengalaman 5G yang unggul, sangat boleh dipercayai, menyokong kapasiti yang besar, dan memberikan kelajuan ultra pantas," kata penyedia perkhidmatan mudah alih dan digital itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata dengan memanfaatkan rangkaian gentian Time yang luas, U Mobile akan dapat mempercepatkan liputan 5G di seluruh Malaysia.
"Kami juga akan dapat menyediakan rangkaian 5G yang mempunyai ketersediaan tinggi, daya ketahanan yang baik, kependaman ultra rendah dan jalur lebar yang tinggi.
"Ciri-ciri prestasi ini akan memberi manfaat kepada semua pengguna tetapi khususnya amat kritikal untuk membolehkan automasi yang boleh dipercayai dan aplikasi Internet Pelbagai Benda (IoT) merentas industri," katanya.
U Mobile berkata ia kini memanfaatkan infrastruktur gentian Time untuk mengembangkan ketersediaan produk gentian kepada lebih satu juta kediaman lagi, terutamanya di bangunan tinggi di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA
#rangkaian 5G #U Mobile #Time dotcom #Woon Ooi Yuen
;