Turun naik harga saham tidak cerminkan prestasi sebenar syarikat - Jentayu Sustainables

Bernama
Januari 23, 2024 08:00 MYT
Jentayu Sustainables berkata ia sedang menuju ke arah mencapai sasaran bagi prestasi kewangan yang mampan menerusi suntikan pendapatan loji tenaga hidro sungai Telekosang Hydro yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2024.
KUALA LUMPUR: Jentayu Sustainables Bhd yakin bahawa turun naik harga sahamnya adalah bagi tempoh jangka pendek dan tidak mencerminkan asas syarikat.
Pengendali loji tenaga itu menyaksikan penurunan harga sahamnya sejak beberapa hari lepas bagaimanapun ditutup sembilan peratus lebih tinggi atau 4.5 sen pada 54.5 sen dengan 99.39 juta saham didagangkan semalam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Jentayu Sustainables berkata turun naik harga saham baru-baru ini mungkin disebabkan oleh penurunan harga sahamnya yang mengakibatkan penjualan saham Jentayu.
"Kami memberi jaminan kepada pelabur dan pemegang saham Jentayu Sustainables bahawa perkembangan ini tidak menjejaskan mahupun mencerminkan asas Jentayu yang terus berkembang kukuh dan tidak akan menghalang kami untuk mencapai matlamat syarikat tahun ini seperti yang dirancang.
"Kami berasa rendah diri dengan kepercayaan berterusan yang ditunjukkan oleh pelabur jangka panjang kami kepada Jentayu Sustainables, syarikat akan meneruskan komitmen berikutan kepercayaan diberikan itu," katanya.
Jentayu Sustainables berkata ia sedang menuju ke arah mencapai sasaran bagi prestasi kewangan yang mampan menerusi suntikan pendapatan loji tenaga hidro sungai Telekosang Hydro yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2024.
"Kami berbesar hati maklum bahawa Telekosang Hydro telah ditauliahkan sepenuhnya pada Disember 2023.
"Kami juga berada di landasan yang betul untuk melaksanakan perjanjian pembelian tenaga (PPA) untuk loji tenaga hidro sungai berjumlah RM2.8 bilion melibatkan loji tenaga hidro Projek Oriole berkapasiti 170 megawatt (MW) menjelang pertengahan tahun 2024," katanya.
BACA: Harga susut: Bursa Malaysia gantung jualan singkat saham SCIB, JSB dan APB
BACA: Jentayu Sustainables tidak tahu sebab kejatuhan harga sahamnya
Mulai 3 Januari, pihak berkuasa kawal selia berkaitan industri tenaga di Sabah telah dipindahkan daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan (EC) kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS).
Menurut Jentayu Sustainables, ia mengadakan pertemuan yang menggalakkan dengan ECOS semalam mendorong langkah syarikat itu untuk menandatangani PPA untuk Project Oriole.
"Perkembangan ini meletakkan Jentayu dalam kedudukan kewangan dan komersil lebih baik berbanding sebelum ini. Kami sangat optimis menjelang 2024 kerana kerja keras bertahun-tahun akan membuahkan hasil pada separuh pertama tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#Jentayu Sustainables #saham #Bursa Malaysia #harga saham
;