Turkish Airlines tambah penerbangan ke Kuala Lumpur
Bernama
Oktober 2, 2022 04:00 MYT
Oktober 2, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Turkish Airlines telah melancarkan tiga penerbangan tambahan setiap minggu antara Istanbul dan Kuala Lumpur mulai 1 Oktober, sekali gus meningkatkan kekerapan penerbangan kepada 10 kali seminggu.
Tourism Malaysia dalam kenyataan bersama dengan syarikat penerbangan itu dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata peningkatan kekerapan penerbangan terus itu akan menarik lebih ramai pelawat dari seluruh rangkaian Turkish Airlines ke negara ini dan merangsangkan lagi ekonomi menerusi pemulihan kukuh sektor pelancongan.
"Kelonggaran bagi protokol perjalanan antarabangsa dan prosedur kemasukan ke Malaysia akan turut meningkatkan permintaan bagi perjalanan ke Malaysia dan menambahkan kesalinghubungan dari benua antarabangsa lain.
"Tourism Malaysia mengalu-alukan semua pelawat untuk meneroka tarikan di Malaysia yang indah dan pelbagai," katanya.
Turkish Airlines memulakan penerbangan terus yang pertama ke Kuala Lumpur pada 25 April 2013 dengan tiga penerbangan seminggu dan memulakan penerbangan harian ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ketika hampir setahun beroperasi.
MAHB yang menyaksikan pertumbuhan pesat Turkish Airlines di Malaysia selama bertahun-tahun menyatakan keyakinan dengan kejayaan berterusan syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL).
Menurut pengendali syarikat penerbangan itu, peningkatan kekerapan penerbangan akan menyumbang kepada pertumbuhan sektor penerbangan dan pelancongan di Malaysia pasca pandemik.
Pada masa ini, sebanyak 42 rakan syarikat penerbangan asing beroperasi di rangkaian lapangan terbang MAHB.
"MAHB berharap dapat melihat pemulihan lebih banyak syarikat penerbangan di lapangan terbangnya berikutan perjalanan udara yang kembali meraih momentum pada tahun ini.
"Kekerapan (penerbangan) tambahan baharu ini akan dapat menampung lebih banyak permintaan bagi penumpang yang berlepas dari KUL kepada lebih 320 destinasi melibatkan lebih 120 negara di seluruh dunia menerusi Istanbul," katanya.
-- BERNAMA