Tun M: Ubah imej Proton

Syafique Shuib
Disember 11, 2012 18:31 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata imej Proton meningkat dengan ketara sejak pengambilalihannya oleh DRB-Hicom.
Menurutnya pengurusan baru Proton bercita-citta tinggi menghasilkan kereta yang berkualiti dan memastikan imej syarikat setaraf pengeluar kereta antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri itu menyatakan antara keutamaan pengurusan baru Proton sekarang adalah untuk merubah strategi pemasaran dari kereta mampu milik, kepada kereta yang berkualiti.
“Masyarakat akan samakan kereta kos rendah sama dengan kualiti yang tidak memberangsangkan. Ia tidak lagi akan jadi begitu. Kualiti kereta Proton akan menjadi sebaik kereta yang dikeluarkan oleh negara-negara lain. Kereta Proton tidak lagi akan memasuki pasaran tanpa sijil kelulusan kualiti. Saya yakin kualiti pengalaman pemanduan telah bertambah baik,” kata Dr. Mahathir.
Namun beliau berpendapat ramai masih sukar untuk mempercayai produk keluaran tempatan.
“Kita sentiasa mempunyai kurang keyakinan. Apa sahaja yang dilakukan adalah salah, termasuk kereta Proton. Oleh kerana itu adalah kereta kita, jadi ramai beranggapan ia adalah tidak bagus. Anda harus ingat bahawa kereta yang terbaik pun boleh ditarik balik, bukan sahaja satu atau dua unit tetapi ratusan dan ribuan unit oleh syarikat terkemuka. Kereta harus ditarik balik atas masalah teknikal. Kereta Proton belum pernah jadi begitu,” tambah beliau.
Ujarnya lagi pada masa akan datang, model baru proton akan ditambah baik dari segi kualiti pengendalian dan pemanduan.
#DRB Hicom #Proton #Tun Dr Mahathir Mohamad
;