Tujuh aspek penting yang membentuk masa depan semikonduktor Malaysia

Nina Rozman
Mac 7, 2025 16:15 MYT
Malaysia kini berada di ambang peluang besar dalam industri semikonduktor global dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai pusat pengeluaran neutral dan meningkatkan daya saing melalui peralihan ke rantaian nilai yang lebih tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di persimpangan strategik dalam industri semikonduktor global.
Menurut Lembaga Pengarah, TalentCorp, Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik, dengan ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan global, serta peningkatan pelaburan asing, negara ini mempunyai peluang luar biasa untuk menjadi pemain utama dalam sektor ini.
Berikut adalah tujuh faktor utama yang membentuk pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia:
1. Peralihan rantaian bekalan global: Peluang untuk Malaysia
- Apabila pemimpin seperti Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin menekankan dasar lokalisasi, rantaian bekalan global pula menjadi semakin tidak menentu dan sukar diramal.
- Malaysia berperanan sebagai negara pengeluaran neutral, di mana syarikat gergasi seperti ByteDance, Microsoft, Google, dan Nvidia boleh beroperasi tanpa konflik geopolitik.
- Kedudukan strategik Malaysia membolehkannya menerima limpahan pelaburan dari syarikat yang ingin mengurangkan kebergantungan kepada China dan Taiwan.
"Malaysia telah lama dikenali sebagai pusat pembuatan neutral, membolehkan syarikat-syarikat teknologi global beroperasi dengan harmoni.
"Ini memberikan kelebihan besar dalam menarik peralihan rantaian bekalan," kata Raja.
2. Bergerak ke arah nilai tambah yang lebih tinggi
- Syarikat Malaysia ketika ini masih tertumpu kepada OSAT (Outsourced Semiconductor Assembly and Testing), iaitu pemasangan dan ujian komponen semikonduktor.
- Namun, ada usaha untuk menaikkannya ke rantaian nilai yang lebih tinggi, seperti 'advanced packaging' dan reka bentuk cip.
- Negara-negara lain seperti Vietnam juga mula bersaing, menjadikan transformasi industri semikonduktor Malaysia satu keperluan mendesak.
3. Bakat: Kekuatan dan cabaran Malaysia
- Malaysia mempunyai tenaga kerja berbahasa Inggeris dan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan pada kadar yang lebih kompetitif berbanding negara lain.
- Namun, ramai jurutera berbakat memilih untuk berhijrah ke Singapura kerana tawaran gaji yang lebih tinggi.
- Intel di Malaysia, sebagai contoh, telah mula menawarkan gaji purata RM15,000 sebulan (RM180,000 setahun) bagi jurutera reka bentuk cip, membuktikan potensi pendapatan yang tinggi dalam sektor ini.
“Malaysia memiliki asas tenaga kerja yang kukuh, tetapi cabarannya adalah bagaimana kita mengekalkan bakat terbaik agar mereka tidak berhijrah ke luar negara," kata beliau.
4. Memperkasa ekosistem semikonduktor
- Ekosistem semikonduktor Malaysia sudah berkembang, tetapi perlu terus diperkukuh secara berperingkat, bukan melalui pelaburan besar-besaran dalam kilang fabrikasi tanpa asas kukuh.
- Pelaburan dalam reka bentuk cip adalah strategi terbaik kerana ia bergantung kepada bakat tempatan dan boleh dikembangkan dengan lebih cepat.
- Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang lebih fleksibel untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja semikonduktor.
5. Kesiapsiagaan syarikat tempatan
- Banyak syarikat Malaysia masih belum bersedia untuk naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi, sama ada dari segi modal, pendedahan, atau kepakaran teknikal.
- Peralihan ke sektor reka bentuk dan pembuatan berteknologi tinggi memerlukan pelaburan modal (CapEx) yang besar, serta jaminan dan pinjaman untuk membiayai transformasi ini.
- Namun, pelabur asing bersedia untuk mengurangkan risiko melalui kerjasama dan pelaburan bersama dengan syarikat tempatan.
“Syarikat asing kini lebih terbuka untuk bekerjasama dengan pemain tempatan.
"Ini peluang keemasan bagi syarikat Malaysia untuk berkembang di peringkat global dengan risiko yang lebih rendah," katanya lagi.
6. Pelaburan dan sokongan kerajaan
- Pengumuman Arm Holdings Plc baru-baru ini yang bersetuju untuk membekalkan reka bentuk dan teknologi cip kepada Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang, menandakan keyakinan tinggi terhadap negara sebagai hab semikonduktor.
- Namun, butiran pelaburan dan insentif kerajaan perlu lebih jelas agar ia benar-benar memberi manfaat kepada industri tempatan.
- Malaysia juga bersaing dengan negara jiran seperti Singapura dan Vietnam, yang menawarkan pakej insentif agresif untuk menarik pelabur asing.
7. Menyelesaikan jurang bakat melalui kolaborasi industri
- Majlis Bakat yang memfokuskan kepada sektor semikonduktor ditubuhkan untuk mengumpulkan bakat tempatan terbaik melalui program-program yang bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, dengan pelaksanaan yang masih dalam perbincangan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau kerjasama dengan universiti, bagi mengatasi jurang bakat dalam sektor semikonduktor.
- Syarikat tempatan dan antarabangsa memerlukan tenaga kerja yang mencukupi, dan mereka bersedia untuk mengambil graduan jika latihan yang diberi relevan dengan industri.
- Kerjasama sektor awam dan swasta amat diperlukan untuk menyesuaikan jenis bakat yang diperlukan dan memastikan latihan industri lebih bersasar.
Malaysia memiliki asas kukuh dalam industri semikonduktor, tetapi tidak boleh sekadar bergantung kepada pemasangan dan ujian cip.
"Untuk benar-benar berjaya, kita memerlukan strategi yang merangkumi pembangunan bakat, pelaburan modal, insentif kerajaan, serta kerjasama antarabangsa.
"Jika langkah yang betul diambil, Malaysia mampu menjadi hab semikonduktor utama di Asia," katanya.
#Malaysia #semikonduktor #pelaburan #bakat
;