TUBE tingkatkan pendapatan golongan B40 Bumiputera

Nurulhana Ismail
Februari 24, 2016 09:16 MYT
Najib bersalaman dengan sebahagian peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) selepas merasmikan Menara Baharu MITI hari ini. - Foto Bernama
Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) anjuran SME Corp berjaya memberi impak positif kepada peserta.
Inisitiaf SME Corp. ini adalah sebagai menyokong usaha kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bagi melonjakkan pendapatan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) selain melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berjaya dalam kumpulan itu.
Sejumlah 99 peratus daripada 448 belia Bumiputera yang menyertai TUBE telah memulakan perniagaan dengan nilai jualan tahunan terkumpul mencecah RM17.8 juta.
Usahawan TUBE juga sehingga kini telah berhasil mewujudkan sejumlah 848 peluang pekerjaan.
Sementara itu, fasa kedua program berkenaan yang dimulakan pada November turut menyaksikan penambahan penyertaan sebanyak 11 peratus iaitu sejumlah 495 orang.
SME Corp juga akan meneruskan pelaksanaan TUBE fasa ketiga yang akan dilancarkan Mei tahun ini.
"TUBE telah mentrasformasikan peserta menjana pendapatan yang lumayan kepada belia," kata Najib dalam ucapan amanatnya di Majlis Apresiasi TUBE di menara baru MITI di Kuala Lumpur pada Rabu.
Majlis Apresiasi TUBE itu menghimpunkan seramai 600 peserta TUBE Fasa 1 dan 2.
Najib berharap akan lebih banyak peserta TUBE pada masa akan datang dengan adanya pelancaran program TUBE fasa seterusnya.
"Selaku Menteri Kewangan, saya berhasrat untuk menambah peruntukan program ini di masa hadapan sekiranya keadaan ekonomi pulih dan pendapatan hasil negara bertambah," akhiri beliau.
#Najib Razak #Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera #SME Corp #TUBE #usahawan