Trump bakal sertai Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2020 - Agensi

Harits Asyraf Hasnan
November 18, 2020 07:00 MYT
Pentadbiran Trump dikritik hebat lantaran tidak menunjukkan minat pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu lalu. -Foto AP Newsroom
KUALA LUMPUR: Donald Trump dijadual bakal mewakili Amerika Syarikat (AS) dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang diadakan secara maya pada Jumaat malam.
Memetik laporan agensi berita Reuters menerusi sumber pegawai kanan kerajaan AS, Trump bakal bersama secara maya dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping yang juga telah mengesahkan penyertaannya sebelum ini.
Kehadiran Trump pada AELM kali ini adalah penglibatan pertama beliau sejak 2017, dan ia adalah satu-satunya penyertaan semasa pentadbirannya.
Laporan itu muncul selepas kerajaan pimpinan beliau yang bakal berakhir itu menerima kritikan lantaran tidak menunjukkan minat pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu lalu, seiring pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) - yang didokong oleh China.
“POTUS (Presiden Amerika Syarikat) akan sertai APEC,” memetik kenyataan pegawai kanan AS kepada Reuters, yang enggan identitinya didedahkan.
Sementara itu, White House enggan memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.
Pada siri APEC sebelum ini, Trump sering berubah fikiran berhubung penyertaannya dalam kesatuan ekonomi rantau Asia Pasifik itu.
Pada mesyuarat AELM APEC tahun lalu, di mana Trump dijadual menghadirinya, ia gagal berlangsung seperti dirancang susulan protes domestik yang memuncak di Chile.
Pada APEC 2018 di Papua New Guinea, AS diwakili oleh Naib Presidennya, Mike Pence tatkala perang dagang antara AS-China memuncak.
Pada minggu lalu, pegawai kanan AS yang bertanggungjawab terhadap APEC berkata pihaknya masih belum memutuskan siapakah yang bakal menghadiri AELM, yang mana turut beranggapan bahawa Jinping akan meluaskan pengaruhnya di seluruh Asia.
#APEC 2020 #MyAPEC2020 #Donald Trump #Xi Jinping #China #ASEAN #ekonomi #Amerika Syarikat
;