Trillion Times Sdn Bhd bawa kelainan, tawar produk persekolahan beserta pakej takaful
Astro Awani
Februari 27, 2024 14:58 MYT
Februari 27, 2024 14:58 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat Bumiputera Trillion Times Sdn Bhd yang berdiri di bawah naungan Global Asia Holdings (M) Sdn Bhd memperkenalkan produk inovasi Pakej Rahmah persekolahan yang turut merangkumi perlindungan takaful kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Trillion Times Sdn Bhd, Rina Rosyaira berkata, keunikan Pakej Rahmah bernilai RM105 itu dilengkapi dengan sepasang baju sekolah, kasut dan stoking serta perlindungan takaful 24 jam kepada pelajar sama ada ketika berada di dalam mahupun luar sekolah.
“Jadi kami fikir apa yang paling penting untuk murid-murid adalah kelengkapan persekolahan dan kami bersetuju untuk menyediakan pakej persekolahan bersama perlindungan takaful agar ia boleh membantu sekiranya berlaku apa-apa kemalangan tidak kira di dalam mahupun luar sekolah,
“Kelainan yang kami bawakan ini diharap mampu membantu waris untuk menyediakan perlindungan takaful kepada pelajar kerana pakej yang kami tawarkan ini akan merangkumi perlindungan selama setahun,” ujarnya.
Produk yang membawa kelainan itu diperluaskan lagi dengan hasil kerjasama daripada Al Mateen Agency, Orijin School dan HNM SP Enterprise sambil meletakkan kebajikan ekonomi dan keselamatan pelajar sebagai objektif utama.
Dengan menyasarkan seramai dua juta pelajar sekolah menengah dan rendah, mereka berpeluang untuk mendapat manfaat perlindungan takaful diri berjumlah sehingga RM40,000 sekaligus menikmati kualiti kelengkapan persekolahan yang bertaraf tujuh bintang.
Manfaat perlindungan yang ditawarkan adalah termasuk kematian, lumpuh ataupun hilang keupayaan kekal akibat kemalangan, pampasan berganda, pendapatan dan perbelanjaan perubatan hospital akibat kemalangan, perbelanjaan kerusi roda atau anggota tiruan serta khairat kematian.
Meskipun baru sahaja berkecimpung dalam dunia pasaran namun ia tidak menjadi penghalang hasrat murni Trillion Times untuk merealisasikan inisiatif kerajaan dalam mengurangkan bebanan ekonomi keluarga.
Kaedah pembelian pakej boleh dilakukan hanya dengan menggunakan aplikasi telefon pintar dengan memuat turun aplikasi Orijin School di App Store ataupun Play Store.
Sejajar dengan inisiatif Pakej Rahmah, Trillion Times turut menawarkan potongan harga promosi RM99.90 kepada 500,000 orang yang terawal dalam membuat pembelian.
Dalam pada itu, Mantan Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik yang turut merasmikan Inovasi Pakej Rahmah pada majlis tersebut amat optimis mampu memberikan kepuasan berganda kepada pelanggan dengan penyediaan sistem pembelian Pakej Rahmah yang menggunakan aplikasi Orijin School.
“Sistem ini memberi kepentingan dan kemudahan kepada waris untuk mengakses, mendapatkan respons dan membuat pembelian dengan mudah yang sekali gus mempercepatkan proses pembelian pakej agar pelajar dapat menikmati manfaatnya,
“Jadi saya yakin sistem yang kami sediakan ini dapat diakses dengan mudah oleh waris dan mereka akan berpuas hati dengan sistem yang kita sedia ada,” katanya.
Selain Pakej Rahmah, Trillion Times turut menyatakan hasrat untuk membuka One Stop Center yang menyediakan pelbagai keperluan barangan persekolahan dengan menawarkan harga mampu milik namun keterjaminan kualiti tetap diutamakan.
Trillion Times dijangka akan mengumumkan rakan kolaborasi dengan syarikat takaful secara rasmi pada 1 Mac depan.
Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram @times_school5
*Artikel ini adalah kandungan berbayar