'Trend kepimpinan akan berubah, pertukaran generasi perlu dibuat secara tersusun'
Madiha Abdullah
April 21, 2021 10:49 MYT
April 21, 2021 10:49 MYT
KUALA LUMPUR: Trend kepimpinan bagi syarikat dan perusahaan dilihat akan mengalami perubahan ketara menjelang 2025, susulan pemindahan dana antara generasi terbesar yang dijangka akan berlaku pada tahun 2060.
Bercakap dalam sesi LINC Leaders Speakeasy pada Rabu, Ahmad Ashkar, Ketua Pengasas Falafel Inc, berkata, situasi itu akan mengubah semua prinsip berkaitan jenama, impak dan masyarakat.
"Untuk kali pertamanya dalam hidup kita, mereka yang mengawal aliran tunai berada di tampuk kepimpinan, baik di perusahaan, kerajaan atau pengaruh dalam masyarakat.
"Apa yang anda akan saksikan ialah perubahan daripada nilai pemegang saham kepada nilai pihak berkepentingan dan inilah prinsip yang menjadi panduan.
"Ini bukan masanya untuk memikirkan memaksimakan keuntungan tetapi mereka juga perlu memaksimakan impak sambil berkesinambungan dan menjelang 2025, perlumbaan akan bermula.
"Syarikat mana yang menang akan memahat nama sebagai syarikat yang telah memanfaatkan pemindahan dana ini," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas The Hult Prize Foundation melihat pertukaran kepimpinan daripada generasi terdahulu kepada millenial, perlu dilakukan dengan cara tersusun dan bukan dipaksa atau secara terburu-buru.
"Pengambilalihan tidak boleh secara terburu-buru dan sering kali ini dilakukan oleh generasi milenial secara khusus. Ini tidak boleh berlaku, pertukaran baton perlu dilakukan pada waktu yang tepat dan strategik di mana anak muda mempelajari kesilapan dan mengambil iktibar daripada generasi terdahulunya dan memimpin dengan penuh rasa empati dan penuh rasa tanggungjawab.
"Anda tidak boleh melakukannya jika anda hanya 'menghalau' generasi yang telah memimpin selama berdekad lamanya," katanya lagi.
Untuk itu, Ahmad berkata, generasi milenial dan Gen-Z perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan jangkaan, sebagai persiapan mengambil alih kepimpinan.
"Kapitalisme tidak akan hilang dan alasan saya mengatakan ia berita baik adalah kerana pasaran modal akan mengadaptasi dengan permintaan pengguna.
"Begitulah cara ekonomi berfungsi, pengguna selalu menjadi raja dan apabila tingkah laku pengguna berubah, anda akan melihat syarikat juga berubah.
"Tidak ada lagi CEO akan dibiarkan berada di mata umum, menerbangkan jet awam mereka dari satu lokasi ke satu lokasi kerana itu sebenarnya akan mempengaruhi harga saham syarikat dan kapitalisme sebenarnya akan memaksa syarikat untuk menyesuaikan diri dengan pemikiran pengguna ini yang menganggap impak lebih utama," ujarnya.