Kerajaan memberi jaminan projek-projek infrastruktur berkaitan pengangkutan awam tidak akan terjejas demi kesejahteraan rakyat meskipun situasi ekonomi kini berdepan pelbagai cabaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini termasuk projek berimpak tinggi seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) yang akan diteruskan seperti dirancang.

Beliau berkata, pelaburan dalam projek pengangkutan awam memberi pulangan dan impak yang besar kepada rakyat serta ekonomi.

Hasil daripada pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan telah menunjukkan kemajuan dalam tempoh lima tahun di mana pegangan mod pengangkutan awam telah meningkat daripada 10 peratus pada 2009 kepada 22 peratus pada 2015.

Negara mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030.

"Untuk mencapai sasaran ini, negara memerlukan dasar dan sistem pengangkutan yang lebih beroreintasikan transit pengguna dan relevan kepada perkembangan demografi semasa.

"Lebih penting, pengguna perlu diyakinkan bahawa sistem pengangkutan awam dapat memenuhi keperluan mereka dan membawa mereka ke destinasi dengan pantas dan selesa.

"Saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan menangani keperluan pengangkutan awam menerusi penyelesaian yang inklusif dan berkesan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut melancarkan laporan 'Lima Tahun Transformasi Pengangkutan Awam.'