Transaksi hartanah kediaman susut 44.7 peratus pada suku pertama 2021
Bernama
September 6, 2021 17:25 MYT
September 6, 2021 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Jumlah transaksi hartanah kediaman Malaysia pada suku pertama 2021 susut sebanyak 44.7 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada tahun lepas, demikian menurut laporan PropertyGuru DataSense.
Keadaan itu terutamanya disebabkan oleh peningkatan kebimbangan dalam kalangan pembeli hartanah mengenai kes COVID-19 selain prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih perlahan daripada jangkaan awal, katanya yang juga cabang analisis data dan penyelesaian PropertyGuru.
"Pembeli rumah kali pertama (FHB) didapati menyumbang kepada sebahagian besar transaksi hartanah di seluruh Malaysia iaitu 61.2 peratus.
"Golongan pembeli FHB turut mengatasi pembelian oleh pelabur di tiga pasaran hartanah utama Malaysia - Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang iaitu masing-masing sebanyak 13.2 peratus, 65.2 peratus dan 0.08 peratus," kata kumpulan teknologi hartanah itu dalam kenyataan pada Isnin.
Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense Joe Hock Thor berkata berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kes COVID-19 dan prestasi KDNK, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila keyakinan terhadap pasaran berkurangan selain penurunan transaksi hartanah kediaman pada suku pertama 2021.
"Namun, kami gembira apabila melihat insentif-insentif seperti Skim Rumah Pertama Saya dan Kempen Pemilikan Rumah telah mendorong pembeli rumah kali pertama memulakan langkah untuk memiliki rumah sendiri pada suku ini," katanya.
Menurut PropertyGuru DataSense, transaksi subjualan mendominasi pasaran pada suku pertama 2021 dengan ramai pemilik hartanah bertindak menjual aset pada harga kompetitif untuk mendapatkan wang tunai dan seterusnya membolehkan kalangan FHB dan pelabur membuat pembelian pada harga di bawah nilai pasaran.
"Ini jelas ketara di Lembah Klang yang mencecah rekod transaksi subjualan sebanyak 83.7 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Dalam pada itu, langkah yang menyaksikan sebahagian besar rakyat bekerja dari rumah susulan pandemik turut mengubah jenis hartanah yang menjadi pilihan pembeli.
Trend ini dipaparkan oleh data transaksi suku pertama 2021 yang mana pembeli lebih menggemari unit kediaman lebih besar dan luas dalam lingkungan harga RM300,000 hingga RM500,000.
"Kalangan pembeli lebih memilih unit bertanah berbanding kediaman bertingkat manakala rumah teres menyumbang 54 peratus daripada transaksi di Malaysia diikuti dengan kondominium/pangsapuri (18 peratus)," katanya.
-- BERNAMA