Trafik penumpang udara bagi Julai catat pertumbuhan tinggi

Bernama
September 7, 2016 20:09 MYT
de JUNIAC: Permintaan kukuh itu dirangsang oleh tambang yang lebih rendah yang disokong oleh harga minyak yang rendah. - Gambar fail
Trafik penumpang udara dunia bagi Julai menunjukkan pertumbuhan permintaan yang tinggi, dengan jumlah hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat 5.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan semua rantau mencatat pertumbuhan.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata jumlah tempat duduk bagi setiap kilometer yang tersedia (ASK) meningkat enam peratus, manakala faktor muatan mencatatkan 83.7 peratus, hanya 0.1 mata peratus kurang daripada rekod tinggi yang dicapai pada Julai 2015.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata permintaan kukuh itu dirangsang oleh tambang yang lebih rendah yang disokong oleh harga minyak yang rendah.
"Permintaan penumpang meningkat selari dengan purata 10 tahun lepas, namun industri ini berhadapan dengan beberapa potensi halangan termasuk impak siri serangan bom serta latar belakang ekonomi yang lemah.
"Intipatinya kecekapan. Sebagai sebuah industri kami mesti bersedia untuk melakukan inovasi bagi menangani kejutan dan memmanfaatkan peluang yang muncul," katanya.
IATA berkata permintaan penumpang antarabangsa pada Julai meningkat 7.1 peratus berbanding Julai 2015, yang merupakan peningkatan lima peratus setahun pada Jun 2015, hasil daripada pertumbuhan positif syarikat penerbangan di semua rantau.
Bagi segmen ini, syarikat penerbangan Asia Barat mencatat pertumbuhan paling kukuh dengan peningkatan 13.1 peratus setahun manakala bagi trafik penumpang Julai, pertumbuhan syarikat penerbangan Asia Pasifik meningkat 9.8 peratus setahun.
Permintaan untuk perjalanan domestik, sebaliknya meningkat 3.8 peratus pada Julai tahun ini berbanding bulan yang sama tahun lepas, tahap paling lemah dalam tempoh 19 bulan.
"Bagi segmen ini, China dan India mencatat peningkatan besar manakala Brazil dan Rusia ketinggalan.
"Penurunan trafik Brazil bukan sekadar mencerminkan masalah ekonomi negara itu, malah pilihan untuk menaiki pelawat juga terhad disebabkan kurangnya perhubungan udara.
"Permintaan bagi Ogos dijangkakan tinggi disebabkan sukan Olimpik," kata IATA.
#Alexandre de Juniac #Asia Barat #IATA #penumpang udara #trafik
;