Trafik penumpang naik 6.2 peratus pada Nov - MAHB

Bernama
Disember 12, 2017 04:14 MYT
Rangkaian lapangan terbang MAHB mencatat pertumbuhan 6.2 peratus dalam trafik penumpang pada November 2017. -Gambar fail
Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA), mencatatkan pertumbuhan 6.2 peratus dalam trafik penumpang pada November 2017, dengan 10.4 juta penumpang, berbanding bulan yang sama pada 2016.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan peningkatan 13.6 peratus berbanding tahun ke tahun dengan 4.9 juta penumpang pada November, manakala trafik penumpang domestik meningkat 0.5 peratus berbanding tahun ke tahun, bersamaan 5.5 juta penumpang.
Bagi asas 12 bulan, rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan pertumbuhan lapan peratus berbanding tahun ke tahun dengan 127.4 juta penumpang, angka tertinggi setakat ini.
Di dalam negara, MAHB berkata lapangan terbangnya di Malaysia mencatatkan 7.9 juta penumpang, pertambahan 4.8 peratus berbanding tahun ke tahun dengan pergerakan antarabangsa meningkat 13.2 peratus berbanding tahun ke tahun manakala trafik domestik susut tiga peratus.
Pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan 7.8 peratus berbanding 4.8 juta penumpang pada November 2016, katanya.
"Trafik penumpang Istanbul SGIA juga mencatatkan pertambahan sebanyak 10.9 peratus berbanding tahun ke tahun pada November 2017 dengan 2.5 juta penumpang," kata MAHB.
Menurut pengendali lapangan terbang itu, trafik antarabangsa dan domestik lapangan terbang naik, masing-masing 15.6 peratus dan 9.0 peratus berbanding tahun ke tahun, kata pengendali lapangan terbang itu.
Sementara itu, trafik antarabangsa bagi destinasi ASEAN meningkat 9.8 peratus manakala pergerakan bagi bukan ASEAN pula mencatatkan kenaikan 16.4 peratus, katanya.
-- BERNAMA
#lapangan terbang #Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen #MAHB #Malaysia Airports Holdings Bhd #sgia
;