Trafik penumpang global meningkat 6.1 peratus pada Mei - IATA
Bernama
Julai 5, 2018 05:17 MYT
Julai 5, 2018 05:17 MYT
Permintaan trafik penumpang global, yang diukur pada hasil penumpang bagi setiap kilometer, meningkat 6.1 peratus tahun ke tahun pada Mei 2018, naik sedikit daripada pertumbuhan 6 peratus tahun lalu bagi April 2018, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Kapasiti meningkat 5.9 peratus sementara faktor beban meningkat 0.1 mata peratusan kepada 80.1 peratus, katanya.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, Mei adalah satu lagi bulan kukuh dari segi pertumbuhan permintaan.
"Seperti yang dijangka, kita menyaksikan penyederhanaan ketika kenaikan kos syarikat penerbangan mengurangkan rangsangan daripada tambang yang lebih rendah.
"Secara khususnya, harga bahan api pesawat dijangka meningkat hampir 26 peratus tahun ini berbanding 2017. Bagaimanapun, faktor beban tertinggi bagi bulan itu menunjukkan bahawa permintaan untuk penyambungan udara adalah kukuh," katanya.
IATA berkata, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Asia Pasifik menyaksikan peningkatan trafik 8 peratus pada Mei berbanding tempoh yang sama setahun lalu, merosot sedikit berbanding peningkatan 8.1 peratus pada April.
Kapasiti meningkat 7.6 peratus dan faktor beban meningkat 0.3 mata peratusan kepada 77.9 peratus
"Trafik penumpang di rantau ini terus meningkat dengan kukuh dari segi penyelarasan bermusim, didorong oleh kombinasi pertumbuhan ekonomi serantau yang mantap dan peningkatan bilangan pilihan laluan untuk penumpang," tambahnya.
-- BERNAMA