Trafik penumpang global meningkat 26.2 peratus pada Julai 2023 - IATA

Bernama
September 7, 2023 14:49 MYT
Trafik global kini berada pada 95.6 peratus daripada tahap sebelum COVID, menurut IATA dalam satu kenyataan hari ini. -Gambar fail/Twitter Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah trafik global untuk perjalanan udara pada Julai 2023, diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 26.2 peratus tahun ke tahun, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Trafik global kini berada pada 95.6 peratus daripada tahap sebelum COVID-19, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Penumpang pesawat penuh pada bulan Julai kerana orang ramai meneruskan perjalanan dalam jumlah yang lebih besar.
"Yang penting, jumlah jualan tiket ke hadapan menunjukkan keyakinan pengembara kekal tinggi," kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.
IATA yang mewakili kira-kira 300 syarikat penerbangan, merangkumi 83 peratus trafik udara global berkata, trafik domestik bagi Julai meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun dan 8.3 peratus melebihi angka bulan Julai 2019.
RPK Julai adalah yang tertinggi pernah direkodkan, disokong kuat oleh permintaan yang melonjak dalam pasaran domestik China, katanya.
Bagi trafik antarabangsa, IATA berkata ia meningkat 29.6 peratus tahun ke tahun dengan semua pasaran menunjukkan pertumbuhan yang rancak.
Sementara itu, RPK antarabangsa mencapai 88.7 peratus daripada paras Julai 2019, dengan faktor muatan penumpang (PLF) untuk industri mencecah 85.7 peratus, yang merupakan PLF antarabangsa bulanan tertinggi pernah direkodkan, katanya.
Menurut IATA, syarikat penerbangan Asia Pasifik menyaksikan peningkatan 105.8 peratus tahun ke tahun dalam trafik Julai 2023 dan terus menerajui rantau berkenaan.
Kapasiti mengukuh 96.2 peratus manakala faktor beban meningkat 3.9 mata peratusan kepada 84.5 peratus.
-- BERNAMA
#IATA #trafik global untuk perjalanan udara #Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa #Willie Walsh
;