Trafik penumpang Capital A naik 153 peratus tahun ke tahun suku pertama tahun kewangan 2023
Bernama
April 27, 2023 05:15 MYT
April 27, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mencatatkan trafik penumpang yang kukuh sebanyak 13.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, masing-masing menyumbang pertumbuhan 153 peratus tahun ke tahun dan 11 peratus suku ke suku berikutan pertambahan operasi pesawat dan permintaan perjalanan yang teguh.
Dalam satu kenyataan, Capital A selaku syarikat induk pesawat tambang rendah AirAsia berkata, syarikat telah menyatukan kesemua empat syarikat penerbangan di bawah kumpulan itu iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines pada suku pertama tahun kewangan 2023.
Menurutnya pada akhir suku berkenaan, sebanyak 157 pesawat telah diaktifkan iaitu 142 untuk beroperasi, manakala 15 lagi adalah pesawat simpanan.
"Kumpulan mengendalikan 14.8 juta tempat duduk (pada suku pertama tahun kewangan 2023), (iaitu) 71 peratus daripada paras suku pertama tahun kewangan 2019 dan 89 peratus faktor muatan yang setanding kepada paras prapandemik," katanya.
Sementara itu, Capital A berkata AirAsia Malaysia mencatatkan faktor muatan penumpang berjumlah 88 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2023, meningkat satu mata peratusan berbanding suku keempat tahun kewangan 2022 dan suku pertama tahun kewangan 2019.
Menurutnya syarikat penerbangan itu membawa 2.3 juta penumpang antarabangsa pada suku yang dikaji, melonjak 17 peratus suku ke suku, manakala penumpang yang dibawa di peringkat domestik meningkat tiga peratus suku ke suku.
Angka itu sekali gus menyumbang kepada faktor muatan berjumlah 92 peratus dan mencapai hampir 75 peratus paras prapandemik.
Capital A berkata cabang kejuruteraannya, Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) menyaksikan jumlah barisan dan semakan, masing-masing meningkat kepada tujuh dan 14 pada suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding tiga barisan dan lapan semakan pada suku pertama tahun kewangan 2022.
Perniagaan digitalnya iaitu airasia SuperApp merekodkan 12.9 juta pengguna bulanan aktif (MAU) pada suku pertama tahun kewangan 2023, meningkat 12 peratus suku ke suku, manakala jumlah urus niaga mencecah 5.98 juta, menokok 99 peratus tahun ke tahun dan merosot 19 peratus suku ke suku.
"Pertumbuhan MAU dan urus niaga didorong terutamanya oleh peningkatan kapasiti penerbangan AirAsia, pertumbuhan berterusan perniagaan berkaitan perjalanan dan airasia ride," katanya.
Dalam pada itu, pengguna BigPay menokok 17 peratus tahun ke tahun kepada 1.37 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 dan merekodkan hampir 55,000 pengguna baharu sejak suku terakhir.
Cabang logistik, Teleport pula menyerahkan 5.7 juta bungkusan pada suku pertama tahun kewangan 2023 iaitu lonjakan 502 peratus tahun ke tahun.
Segmen kargo Capital A mengangkut 35,723 tan pada suku pertama tahun kewangan 2023, meningkat 39 peratus tahun ke tahun dan 15 peratus suku ke suku berikutan pesawat penumpang antarabangsa AirAsia yang kembali semula serta peningkatan sumbangan daripada pengangkut barangan global.
-- BERNAMA