Trafik penumpang AirAsia X meningkat 50 peratus kepada 504,476 pada suku pertama 2023

Bernama
April 28, 2023 05:10 MYT
AirAsia X menjangka melancarkan lebih banyak penerbangan ke China serta meningkatkan kekerapan di laluan paling popular dan menguntungkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd mengumumkan jumlah penumpang yang dibawanya meningkat hampir 50 peratus kepada 504,476 pada suku pertama 2023, berbanding 337,638 penumpang dalam suku keempat 2022, dipacu oleh permintaan perjalanan sempena cuti Tahun Baharu dan musim bunga.
Syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan semalam berkata, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan kapasti tempat duduk yang berkembang sebanyak 47 peratus suku ke suku kepada 630,069 tempat duduk, manakala kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) melonjak sebanyak 71 peratus kepada 2,899 juta.
"Pada suku ini, tumpuan utama terus diberikan kepada pengaktifan semula kumpulan pesawat menyokong pertambahan kekerapan penerbangan dalam rangkaian utama AirAsia X.
"AirAsia X melancarkan semula lebih banyak destinasi bagi menampung permintaan kukuh, kini menawarkan penerbangan berjadual ke Osaka, Busan dan Shanghai, selain menambah perkhidmatan penerbangan ke Tokyo tujuh kali seminggu," katanya.
Dalam keseluruhan rangkaiannya, Delhi dan Tokyo mencatatkan faktor muatan penumpang (PLF) paling tinggi hampir kepada 90 peratus, manakala keseluruhan PLF kukuh pada 80 peratus, meningkat daripada 79 peratus pada suku sebelumnya.
Selain itu, syarikat penerbangan tersebut juga mendapat rangsangan daripada pembukaan semula sempadan China kepada semua pengembara sejak awal Mac, 2023.
AirAsia X berkata ia menjangka melancarkan lebih banyak penerbangan ke negara itu serta meningkatkan kekerapan di laluan paling popular dan menguntungkan, selain menimbang menambah lebih banyak destinasi dan negara dalam rangkaiannya dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Sementara itu, AirAsia X Thailand mengangkut sejumlah 289,813 penumpang pada suku pertama 2023 dengan faktor muatan penumpang kukuh sebanyak 88 peratus.
Kapasiti tempat duduk semasa suku tersebut meningkat sebanyak 33 peratus kepada 329,913 tempat duduk manakala ASK meningkat 40 peratus kepada 1,601 juta susulan peningkatan penerbangan berjadual dan kekerapan di rangkaian laluannya.
Semasa suku tersebut, AirAsia X Thailand mengekalkan destinasi dalam rangkaiannya dan mengumumkan pembukaan semula laluan Bangkok-Shanghai, bermula April 2023, susulan pembukaan semula sempadan China.
-- BERNAMA
#Airasia X #trafik penumpang #kapasti tempat duduk #syarikat penerbangan
;