TPPA: Malaysia harus lebih telus dalam tarik pelaburan
Pritha Manivannan
Februari 4, 2016 14:49 MYT
Februari 4, 2016 14:49 MYT
Malaysia harus meningkatkan ketelusan bagi menarik lebih banyak pelabur di bawah TPPA.
Menurut Pengerusi Crewstone International, Datuk Jalilah Baba, ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mesra pelaburan.
Tambah beliau, pelaksanaan undang undang berkaitan pelaburan yang bakal dipinda perlu sistematik dan bersifat menyokong.
"Ada beberapa perkara yang perlu Malaysia perbaiki terutamanya dari segi meningkatkan kemesraan pelaburan dengan undang-undang yang lebih mesra bagi menarik pelabur. Ini bukan sahaja untuk pelaburan antarabangsa tetapi juga untuk pelaburan domestik.
"Selain itu, galakan perlu diberi berkaitan isu antara pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik melibatkan vendor tempatan dan pembekal.
"Oleh itu bukan sahaja undang-undang yang perlu diubahsuai, namun cara undang-undang dan pelabur dikendalikan juga perlu diberi fokus," kata Jalilah.
Sementara itu, Jalilah berkata TPPA juga akan membantu mempelbagaikan sumber ekonomi Malaysia.
"TPPA dengan semestinya akan membuka lebih banyak peluang yang akan membantu Malaysia mencapai matlamatnya. Tetapi TPPA bukan satu-satunya faktor yang akan menjana pertumbuhan ekonomi.
"Negara kita disokong sepenuhnya oleh penggunaan domestik. Jika prestasi ekonomi tidak seberapa baik, kadar pengangguran akan meningkat, kos produk dan perkhidmatan akan meningkat dan pendapatan boleh guna akan terjejas. Ini turut akan menyebabkan akitiviti ekonomi dari segi penggunaan domestik akan berkurangan," kata beliau.
Beliau turut berkata selain sektor perniagaan dan perdagangan, masyarakat Malaysia juga akan menikmati manfaat TPPA terutamanya daripada ekonomi yang akan berkembang pesat.