TPPA: Malaysia dijangka terima pelaburan tambahan US$100 bilion menjelang 2027

Bernama
Januari 17, 2016 23:54 MYT
Kandungan TPPA dan dua kajian impak akan dibentangkan di Parlimen memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan. - Gambar fail
Malaysia dijangka menerima pelaburan tambahan lebih US$100 bilion (RM440 bilion) menerusi pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menjelang 2027, kata Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Katanya unjuran pelaburan masuk itu adalah hasil kajian sebuah firma perunding, PricewaterhouseCoopers, berkenaan manfaat TPPA kepada Malaysia.
"Kita minta PricewaterhouseCoopers buat kajian. Kajian menyatakan pada 2027, pelaburan tambahan mungkin meningkat lebih US$100 bilion dengan adanya TPPA," katanya pada sidang media selepas sesi Taklimat Manfaat TPPA di sini hari ini.
Katanya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada TPPA sebelum ini adalah tidak tepat dan tanpa berdasarkan fakta yang benar.
"Sebahagian tohmahan dan kebimbangan mengenai TPPA yang dibuat sebelum teks penuh TPPA dikeluarkan pada 5 Nov tahun lepas adalah berdasarkan 'xakap-cakap.
Tapi selepas keluar teks, banyak pihak yang mula berpuas hati. "Malangnya beberapa kritikan yang dibuat selepas teks dikeluarkan, tunjukkan mereka tak baca teks. Jangan buat dakwaan berdasarkan emosi. (Dakwa) jual negara, jual kepada US, jual syarikat Malaysia, ini semua emosi," katanya.
Mustapa berkata soal pelaburan masuk dan keluar dari Malaysia bukanlah sesuatu perkara yang baharu buat Malaysia kerana negara telah lama bersikap terbuka dalam perkara itu.
" Dulu Malaysia ni (negara) kecil sahaja, tetapi kini pelaburan kita di luar negara RM600 bilion berbanding pelaburan asing yang masuk RM500 bilion (sehingga suku ketiga 2015). Kita ada daya tahan, syarikat Malaysia berjaya di luar negara, kita ada kemampuan. Tetapi yang bercakap (dakwaan) seolah-olah pelaburan asing ini benda baharu, dan kita tidak ada pelaburan di luar negara," katanya.
Katanya pihak yang mengkritik TPPA perlu berlaku adil dengan menyemak fakta berdasarkan teks yang dihebahkan dan bukan berdasarkan maklumat yang tidak betul.
Mustapa berkata Malaysia mendapat banyak faedah daripada keterbukaan dalam globalisasi ekonomi tetapi dalam masa yang sama bersedia untuk menangani permasalahan yang mungkin berlaku akibat keterbukaan itu.
"Kita sedar ada beberapa kelompok rakyat Malaysia yang terpinggir umpamanya, dan ia akan ditangani dengan merujuk dasar-dasar negara untuk atasi masalah mereka yang terpinggir daripada globasasi ini.
Kita sedar ada beberapa cabaran perlu ditangani dan kerana itu perlu ada dasar-dasar negara berikutan
dasar keterbukaan kita," katanya.
Mustapa berkata kerajaan memang menyedari globalisasi ada kosnya tetapi kerana globalisasi Malaysia mampu menjadi negara moden.
"Dulu China negara miskin tetapi kerana globalisasi, China jadi negara maju. China pun dah terbuka dengan menyertai WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) sejak 2001.
China kini mendapat manfaat daripada keterbukaan, dan Malaysia dah dapat banyak manfaat daripada keterbukaan," katanya.
Mengenai cadangan beberapa pihak untuk mengadakan demonstrasi membantah TPPA pada 23 Jan ini di Dataran Merdeka, Mustapa berkata demokrasi di negara ini membolehkan mereka berbuat demikian, tetapi mereka tiada asas untuk melakukannya kerana kerajaan telah mengadakan pelbagai program taklimat dan dialog yang melibatkan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang.
Malaysia dan 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan TPPA pada 5 Okt 2015.
Persidangan khas selama tiga hari akan diadakan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Jan ini bagi membincangkan penyertaan Malaysia dalam TPPA.
Kandungan TPPA dan dua kajian impak akan dibentangkan di Parlimen memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen sebelum diratifikasikan.
Kajian semula boleh dilakukan selepas tiga tahun, tetapi jika benar TPP tidak menguntungkan negara, maka Malaysia boleh keluar pada bila-bila masa enam bulan selepas notis bertulis dikeluarkan.
#Datuk Seri Mustapa Mohamed #TPPA #US
;