TPPA: Malaysia, 10 negara anggota lain akan bincang tindakan lanjut

Bernama
Januari 23, 2017 18:36 MYT
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata 11 negara terbabit kecuali AS, sememangnya saling berhubungan. - Gambar fail
Malaysia dan 10 negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah selanjutnya susulan pengumuman Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada perjanjian perdagangan terbesar dunia itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata 11 negara terbabit kecuali AS, sememangnya saling berhubungan.
"Sebanyak 12 negara menandatangani TPPA itu namun kini salah satu daripadanya mahu menarik diri. Kesemua 11 negara itu boleh meneruskannya dengan meminda klausa berkaitan.
"Ada banyak kemungkinan lain bahawa 11 negara ini masih boleh meneruskan usaha itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan China Intercontinental Communication Co Ltd, di sini, hari ini.
Sejurus pelantikannya sebagai Presiden baharu AS, Donald Trump mengumumkan strategi perdagangan negara itu, termasuk penarikan diri daripada TPPA.
Mengulas lanjut, Ong berkata sebarang tindakan AS untuk menutup pintunya kepada kegiatan perdagangan boleh memberi kesan negatif terhadap kemajuan ekonomi dunia.
Malah, ia merupakan kebimbangan utama yang perlu ditangani Malaysia serta negara anggota TPPA lain.
"AS kini melaksanakan dasar baharu (menutup pintu kepada perdagangan) yang jelas bercanggah dengan amalannya sebelum ini.
"Negara itu yang menggalakkan perdagangan bebas (sebelum ini). Namun kini, secara tiba-tiba ia mahu menamatkannya. Ada kemungkinan ini akan mencetuskan tindak balas daripada segelintir negara lain," katanya. -- Bernama
#Barack Obama #Donald Trump #Najib Razak #Ong Ka Chuan #Perkongsian Trans-Pasifik #TPP #TPPA
;