TPPA: Keputusan AS buka peluang rundingan dagangan dua hala dengan Malaysia

Bernama
Januari 24, 2017 07:47 MYT
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pasaran ekuiti tempatan dijangka dipengaruhi pergerakan ringgit serta perkembangan dalam kaunter hartanah, infrastruktur dan kewangan. - Gambar fail
Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk keluar daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebaliknya akan membuka jalan bagi rundingan perdagangan dua hala negara ekonomi terbesar dunia itu dengan Malaysia, kata seorang pakar ekonomi.
Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berpendapat antara bidang yang boleh diusahakan bersama Malaysia-AS termasuk kewangan dan kewangan Islam.
"Ini mungkin memberi kesan kepada perdagangan terbuka tetapi saya yakin ia bukanlah penamat untuk Malaysia.
"Saya juga percaya akan ada rundingan perdagangan antara Malaysia dan AS dan inilah yang perlu kita utamakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Unjuran Strategik Malaysia 2017 kali ke-19, di sini, pada Selasa.
Menurut Nazri, biarpun ketidaktentuan dasar-dasar AS terus ketara kerana pengumumannya yang tidak jelas, namun ada di antara dasar berkenaan sudahpun dijangkakan dan menjadi petunjuk kepada para pelabur.
"Perbelanjaan besar terhadap infrastruktur akan dibuat dan (Presiden) Donald Trump akan lebih banyak menumpukan perdagangan domestik.
"Lebih banyak potongan cukai akan diberi kepada syarikat-syarikat multinasional bagi mengembalikan pelaburan ke AS. Menerusinya kita akan tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan," katanya.
Mengulas pasaran ekuiti tempatan, Nazri berkata ia dijangka dipengaruhi oleh pergerakan ringgit serta perkembangan dalam kaunter hartanah, infrastruktur dan kewangan.
"Saham-saham ini meningkat apabila ringgit susut, namun sasaran menyeluruh indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI adalah (mencecah paras) 1,760 menjelang akhir tahun ini," katanya.
Beliau juga menjangkakan ringgit akan meningkat kepada RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
Ringgit juga akan terus berdepan tekanan pada masa terdekat ini susulan pengumuman oleh Rizab Persekutuan AS dan tiga lagi kenaikan kadar faedah di negara maju itu.
Namun, katanya, pengukuhan harga minyak termasuk kenaikan minyak mentah Brent kepada US$57 setong, akan menyuntik pemulihan sentimen di pasaran.
"Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum akan mengadakan mesyuarat pada Mac ini yang boleh memberi lebih banyak pemangkin terhadap harga minyak itu," katanya.
-- BERNAMA
#Affin Hwang Investment #AS #Persidangan Unjuran Strategik Malaysia 2017 #TPP
;