TPPA: Apakah faedah, apa kosnya, dan apa yang kita rugi?
Mohd Nizam Mahshar
Julai 17, 2014 15:40 MYT
Julai 17, 2014 15:40 MYT
Ianya bukan sesuatu yang mengejutkan apabila ramai penyokong Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) muncul bersuara minggu ini sejurus selepas buku “TPPA: Malaysia Bukan untuk Dijual" oleh Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad Jumaat lepas.
Semasa pelancaran, mantan Perdana Menteri itu sendiri berkata perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA hanya satu lagi cara untuk menjajah negara.
Walau bagaimanapun, penyokong utama TPPA telah bersuara dengan lantang mengenai beberapa perkara yang sentiasa tidak dapat dibuktikan. Salah satunya, Malaysia akan "kehilangan tanpa TPPA".
Namun, tiada siapa pun yang peduli untuk menjelaskan mengapa atau bagaimana Malaysia akan rugi. Kami sebagai sebuah badan gabungan bimbang jika sesuatu keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira analisis kos-faedah.
Mungkinkah kerana kita tidak akan mempunyai syarikat konglomerat dari Amerika Syarikat untuk membuka cawangan mereka di Malaysia atau mempunyai produk Amerika yang murah? Sudah tentu tidak, kita masih boleh memilih untuk membenarkan mereka masuk berniaga di sini dengan tarif yang rendah jika kita mahu tanpa menandatangani TPPA.
Adakah kerana eksport Malaysia akan menghadapi tarif yang tinggi? Malaysia sebagai ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), telah pun menerima tarif rendah atau sifar ke atas eksport-eksportnya ke semua negara-negara TPPA. Di samping itu, Malaysia telah pun mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan kesemua negara-negara yang terlibat dengan TPPA kecuali 4 negara; Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.
Di negara-negara ini, Amerika Syarikat mengenakan secara purata tarif 3 peratus, manakala Kanada secara purata mengenakan 6 peratus. Ini semestinya tidak termasuk industri tekstil. Walau bagaimanapun, Amerika Syarikat berkeras bagi kesemua FTAnya, termasuk TPPA, untuk mematuhi peraturan “Yarn Forward” mereka. Dalam erti kata lain, walaupun dengan tarif yang sifar atau rendah ke atas produk tekstil Malaysia, kita masih tidak akan mendapat sebarang manfaat darinya kerana Malaysia perlu menggunakan benang Amerika yang mahal bagi mendapatkan akses kepada tarif yang lebih rendah ini – menjadikan ia masih tidak kompetitif.
Di samping itu, kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa pada tahun 2008 negara kita memilih untuk tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas AS – Malaysia dan kita masih mempunyai peningkatan lebihan dagangan barangan dengan Amerika.
Oleh itu, kepada penyokong tegar TPPA, berilah pencerahan kepada kami apakah sebenarnya yang kita akan “rugi” yang sentiasa anda uar-uarkan tetapi tidak pernah jelaskan?
Juga, kami di sini sebagai pembantah tegar TPPA tidak pernah memberi kenyataan perdagangan itu tidak penting. Malah, kami percaya dengan perdagangan yang bebas dan adil. Kami juga percaya perjanjian ini sebaliknya bertentangan dengan konsep dagangan bebas, dan wajar ditolak oleh mereka yang percayakan ekonomi pasaran bebas. Kita sudah pun mempunyai perjanjian perdagangan bebas yang berhasil (yang tidak memerlukan semua peruntukan bukan perdagangan bermasalah yang sering Amerika Syarikat kenakan di dalam FTAnya) yang membolehkan syarikat-syarikat Malaysia menjual kepada berbilion-bilion pelanggan, termasuk India, Pakistan dan juga China.
Kami tidak meletakkan sebarang kepercayaan apabila perjanjian perdagangan seperti TPPA merangkumi 29 bab tetapi hanya enam bab dibincangkan manakala 23 lagi menyatakan keperluan bukan perdagangan.
Untuk disimpulkan dengan mudah; apabila perdagangan bukan lagi mengenai perdagangan tetapi membentuk peraturan yang mengehadkan hanya sebelah pihak, maka ia bukan lagi perdagangan yang bebas mahupun adil.
Di sini juga kami ingin nyatakan bahawa Bantah TPPA jugalah yang bertemu dengan Wakil Perdagangan AS Michael Froman pada April lepas untuk membincangkan kebimbangan terhadap TPPA, terutamanya 75 Garis Merah kami. Semasa mesyuarat inilah Amerika Syarikat telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan secara langsung dengan mereka yang berkepentingan. Bantah TPPA melalui Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga membuat pertemuan susulan bersama Ketua Perunding TPPA AS Barbara Weisel pada 26 Jun yang lalu.
Teks yang bocor dari bab harta intelek (IP) TPPA membuktikan Amerika Syarikat mengeksport undang-undangnya sendiri yang sesuai sebagai pengeksport IP mutlak, di mana ia bertentangan dengan keperluan Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang juga merupakan pengimport IP bersih dan memerlukan akses yang berpatutan kepada teknologi, perubatan dan buku teks.
Tambahan, Kongres Amerika Syarikat berkeras untuk mengenakan ke atas kita bentuk-bentuk disiplin dan penalti yang dikenali sebagai 'pemain manipulasi mata wang' yang tidak akan dikenakan terhadapnya walaupun ada dasar kewangan yang tidak konvensional di mana bank pusat membeli sekuriti kerajaan daripada pasaran untuk menurunkan kadar faedah dan meningkatkan bekalan wang.
Bagi pihak kami, Bantah TPPA ada menyebut perjanjian ini mengayakan syarikat-syarikat korporat Amerika dan bukan kepada rakyat mereka, sama seperti ia tidak memberi faedah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ia memberi kesan terhadap hidup mereka dalam bentuk kos perubatan dan harga buku teks yang tinggi untuk jangka masa lama. Layanan perjanjian TPP juga melemahkan PKS tempatan dan juga perusahaan milik negara.
Dan kerana mahu mengekalkan perkara ini rasional agar dapat dibuat keputusan yang sewajarnya, satu laporan analisis faedah kos (CBA) amat diperlukan untuk menentukan sama ada ya atau tidak perjanjian ini memberi manfaat kepada kita semua.
Kami gusar kerana ada penyokong TPPA yang terdiri dari golongan ahli-ahli akademik dan pemimpin korporat sama-sama berkeras mengandaikan tanpa bukti asas bahawa perjanjian ini menguntungkan tanpa merujuk sebarang laporan CBA atau Penilaian Impak Ekonomi (EIA) yang sehingga hari ini belum dikeluarkan untuk bacaan orang ramai.
Jadi kami bertanya sekali lagi, adakah anda mahu mengesyorkan perjanjian yang mengikat secara sah dikuatkuasakan melalui sekatan perdagangan dan bab pelaburan TPPA bocor yang membolehkan penalti kewangan dan faedah kompaun tanpa had tanpa mengetahui kandungannya, tanpa meneliti maksud perjanjian yang tersirat, tanpa menjamin suatu perjanjian yang adil bagi kedua belah pihak?
Tambahan pula, memandangkan teks TPPA yang bocor ini mengesahkan kebimbangan kami mengenai apa yang dituntut Amerika Syarikat termasuk apa yang semua negara termasuk Malaysia telah persetujui, mengapa tiada seorang pun yang mengangkat perkara ini sebagai sebahagian daripada perjuangan "Sokong TPPA" mereka?
Inilah apa yang kami di Bantah TPPA lakukan dengan mengetengahkan 75 Garis Merah kami yang antaranya menggariskan tiada peruntukan harta intelektual lebih keras yang mengehadkan akses kepada ubat-ubatan generik, membawa keluar usul kawalan tembakau dan sektor halal daripada perjanjian serta memastikan pilihan layanan PKS tempatan tidak dirundingkan.
Kami seterusnya mencadangkan kepada pasukan sorak TPPA untuk sekurang-kurangnya membaca buku TPPA kami dan lihat dengan mendalam fakta analisis kami yang "mengkaji bahan bukti" kerana kandungannya berdasarkan teks-teks bocor TPPA yang sebenar dan Perjanjian Perdagangan Bebas AS (USFTAs) yang lepas (yang kesemuanya sangat sama hasil desakan AS pada rangka perjanjian) dan kesan mereka sebelum membuat sebarang kesimpulan wajar dan tidak wajar semata-mata untuk dilihat sebagai pelanggan ideologi perdagangan bebas atau disebabkan takut kepada kuasa besar.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Mohd Nizam Mahshar adalah Pengerusi Bantah TPPA
**Bantah TPPA merupakan satu badan gabungan 61 buah organisasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang menentang Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan Amerika Syarikat dan Malaysia.
***Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.