TPPA akan pacu pertumbuhan global, kata Bank Dunia

Bernama
September 24, 2016 14:12 MYT
TPPA adalah perjajian perdagangan merangkumi 12 negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru serta Chile.
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka serta memacu gelombang pertumbuhan global akan datang kerana menyentuh pelbagai isu yang melangkaui perdagangan tradisional.
Ketika berkongsi pandangan itu, Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Faris Hadad-Zervos berkata TPPA akan menangani isu-isu termasuk harta intelek dan hak pekerja kalangan negara anggotanya.
"TPPA memaparkan secara mendalam mengenai semua perkara yang diperlukan bagi menjana pengaliran perdagangan dunia. Kami berharap TPPA ini dapat dilaksanakan.
"Ia adalah perjanjian perdagangan yang penting dan memberi manfaat kepada negara-negara anggotanya," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.
TPPA adalah perjajian perdagangan merangkumi 12 negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru serta Chile.
Cadangan akhirnya dimeterai di Auckland, New Zealand pada Februari 2016, sekali gus menamatkan perundingan selama tujuh tahun.
Ia kini dalam proses ratifikasi selama dua tahun sebelum berkuatkuasa pada 2018 kelak.
Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai perjanjian perdagangan mega itu kian ketara selepas beberapa negara bertindak melengahkan proses ratifikasi atau pengesahannya berikutan kebimbangan terhadap nasib TPPA selepas pemilihan Presiden AS pada November ini.
Perdana Menteri New Zealand John Key baru-baru ini berkata AS bakal kehilangan peluang besar jika TPPA tidak diluluskan pada sesi Kongres yang disifatkannya sebagai lemah.
Menurut Key, kerugian itu tidak hanya ditanggung kalangan pengguna serta perniagaan AS, tetapi juga potensi perkembangan perjanjian itu kepada negara-negara seperti China, Indonesia dan Korea Selatan.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia, Rafael Munoz Moreno pula menyifatkan perjanjian perdagangan baharu itu akan membuka lebih banyak peluang untuk negara-negara yang menyertainya.
Sehubungan itu, tegasnya, campur tangan kerajaan sememangnya amat penting bagi membantu rakyat meraih manfaat perjanjian berkenaan.
"Kerajaan perlu terbabit secara aktif dengan kumpulan-kumpulan berkaitan untuk menggalakkan perbincangan terbuka mengenainya," katanya.
Menurut Moreno, secara keseluruhannya, perjanjian perdagangan ini membawa manfaat kepada negara-negara terbabit biarpun ia dilihat tidak memberi kesan kepada segelintir kumpulan yang tidak memiliki kemahiran bersesuaian.
Oleh itu, beliau mengingatkan peri pentingnya keperluan mengemukakan cadangan bagi mengimbangi impak dagangan itu akibat kecaman pihak tertentu yang mendakwa mereka akan terpinggir menerusi perjanjian itu.
"Ketetapan baharu perjanjian itu mungkin mencetuskan kontroversi kerana ia melangkaui pengurangan tarif dan sekatan tradisional lainnya.
"Ia juga berkemungkinan melangkaui piawaian alam sekitar atau buruh. Oleh kerana ia menjadi lebih kontroversi, maka ada pihak yang berasakan keperluan untuk menentangnya," katanya.
#ekonomi #perdagangan #pertumbuhan global #TPPA
;