Toyota rampas gelaran nombor satu
Astro Awani
Januari 29, 2013 13:30 MYT
Januari 29, 2013 13:30 MYT
Toyota merampas semula gelaran pengeluar kereta nombor satu dunia untuk 2012 daripada pesaing utamanya General Motors, syarikat automotif utama Amerika Syarikat.
Toyota yang bangkit semula selepas bencana berganda di Thailand dan Jepun pada 2011 berjaya menjual 9.75 juta unit tahun lalu, lonjakan 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.
GM yang menjadi pengeluar kereta paling laris pada 2011 menjual 9.29 juta kenderaan pada tahun lalu.
Toyota dan lain-lain pengeluar kenderaan Jepun yang teruk terjejas akibat bencana alam di Jepun dan Thailand kini bangun kembali dan mempamerkan prestasi memberangsangkan.
Malah penguasaan jualan masing-masing semakin meluas khususnya di pasaran utama dunia seperti di Amerika.
Menurut penganalisis, kejayaan Toyota menerajui semula pengeluar kereta paling laris dunia akan memberi impak positif kepada pelabur dan pemegang saham syarikat.
Penganalisis pula menjangkakan Toyota terus mengekalkan kedudukan peneraju tahun ini terutama dilonjak jualan Corolla Altis model 2014 yang akan dilancarkan tahun ini.