Tourism Malaysia mahu tarik lebih ramai pelancong Singapura - Nazri
Pritha Manivannan
September 8, 2015 18:46 MYT
September 8, 2015 18:46 MYT
Tourism Malaysia meningkatkan aktiviti promosi bersama agensi pelancongan Singapura bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara itu.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usaha ini dijalankan susulan kemerosotan jumlah ketibaan pelancong dari Singapura pada suku pertama 2015.
"Kita perlu melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk melalui promosi bersama dan kempen taktikal, untuk memacu pertumbuhan dari Singapura untuk baki bulan dalam tahun ini," katanya kepada wakil perdagangan dan media Singapura di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Nazri turut menggariskan usaha Tourism Malaysia bagi meningkatkan ketibaan pelancong dari Singapura.
Ia, katanya, termasuk kerjasama dengan Malindo Air, fiesta durian dan perkhidmatan shuttle harian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan Johor ke Singapura.
Beliau berkata, dengan usaha dan pembangunan yang sedia ada, sasaran ketibaan pelancong dari Singapura ke Malaysia tahun ini mampu dicapai.
Pada 2014 Lebih 13.9 juta pelancong Singapura masuk ke Malaysia.
Bagaimanapun, angka itu merosot sebanyak 8.6 peratus untuk tiga bulan pertama 2015.