Touch 'n' Go Labur RM50 Juta Untuk Tingkat Sistem
Bernama
Januari 16, 2013 12:48 MYT
Januari 16, 2013 12:48 MYT
Touch 'n' Go Sdn Bhd (TNGSB), penyedia sistem pembayaran elektronik, akan meningkatkan operasi pejabat sokongannya menerusi pelaburan berjumlah RM50 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Abdul Karim Md Lassim berkata proses menaik taraf sistem akan bermula bulan ini dan dijangka selesai dalam tempoh 15 bulan.
"Ia membabitkan penggantian sistem pejabat sokongan yang diurus oleh TNGSB," katanya kepada pemberita susulan pemeteraian perjanjian di sini hari ini dengan Xerox Transportation Solution.
Xerox, perusahaan utama bagi pengurusan dokumen dan proses perniagaan, dilantik bagi menyediakan penyelesaian baharu untuk meningkatkan sistem rumah penyelesaian berpusat TNGSB.
Abdul Karim berkata Xerox dipilih berasaskan keupayaan penyelesaian dan rekod baiknya yang sudah terbukti dalam menyediakan sistem pembayaran elektronik yang cekap dan berkesan selain sokongan selepas jualan yang akomodatif dan menyeluruh.
Sistem baharu itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi pejabat sokongan TNGSB, termasuk pengurusan stok dan penyepaduan pembayaran tambang menerusi kad Touch 'n' Go, sekali gus meminimumkan risiko ketirisan pendapatan.